Malaysia Dateline

‘Orang di luar’ bina kekuatan, kekayaan masa Anwar di penjara

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu beliau tidak membalas serangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadapnya sebelum ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebaliknya berpendapat masyarakat boleh menilai dan menghukum mana-mana pemimpin yang memperbodohkan rakyat.

“Saya ini tiada personal sangat, kalau tengok kenyataan yang mana dia serang saya berulang kali, saya tak jawab pun.

“Sebab saya nak fikir lebih baik kita tumpu kepada rakyat, sebab kita tak boleh perbodohkan rakyat. Orang boleh nilai.

“Jadi, biar rakyat yang hukum, tapi bagi saya kembali kepada landasan,” katanya dipetik daripada wawancara eksklusif tiga halaman di Mingguan Malaysia hari ini.

Beliau memberi reaksi sedemikian apabila ditanya pandangannya sama ada kecewa dengan Azmin.

Dalam masa sama, Anwar yang dinamakan sebagai Ketua Pembangkang mulai Mei tahun lalu itu berkata, beliau mengakui kegagalannya sebelum ini mengawal parti memandangkan perlu menjalani hukuman penjara.

“Namun, saya masih akui kelemahan saya untuk mengawal, kerana masa itu saya masih dalam penjara,” ujarnya.

Untuk rekod, Anwar dipenjarakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2015 menolak rayuannya terhadap sabitan bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya serta hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Tinggi.

Anwar yang kini Ahli Parlimen Port Dickson itu kemudiannya dibebaskan atas pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, ketika PH menjadi kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tertumpu pada kes berkaitan pemimpin Umno dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Masa penjara, orang di luar bina kekuatan, bina kekayaan dan SPRM masa PH itu tak nampak kerana mereka hanya tumpu kepada Umno dan 1MDB.

“Jadi yang gajah depan mata itu semua ditolak. Tapi rakyat tahu menteri-menteri yang kumpul kekayaan melalui projek-projek besar, serta cara belanja yang mewah.

“Itu bertentangan dengan prinsip PKR dan PH. Jadi, bagi saya, dia sudah pilih, biarkan,” ujarnya yang diwawancara pada 10 Mac lalu.

Sehubungan itu, Anwar berkata, fokus perlu diberi kepada langkah memperkukuh PKR serta pada masa sama menasihatkan agar tidak mudah mempercayai individu yang berpura-pura.

“Kita tumpu perhatian kukuhkan parti, dan belajar daripada pengalaman kita. Jangan mudah percaya orang yang beri janji dan bermuka-muka,” tambah suami bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu lagi.