“Orang kampung pun kena tempias harga minyak naik”

Ustaz Ridzwan (tengah) berbual dengan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Sany Hamzan manakala seorang anggota ARiF dari Gombak sedang menjamah makanan.

 

Semalaman merentas sejauh lebih 400 kilometer ke ibu negara, Ustaz Ridzwan Abu Bakar turut menyertai protes membantah kenaikan harga minyak di persimpangan Jalan Parlimen hari ini.

Pada ketika sebahagian warga kota masih diulit mimpi di tilam empuk, Pengarah Komunikasi AMANAH Kedah itu sedang melelapkan mata ketika Malaysia Dateline tiba di lokasi jam 4 pagi tadi.

Khemah yang dijadikan hamparan juga menjadi pengalas kepada beberapa pimpinan Pemuda Pakatan Harapan dan aktivis NGO lain.

Berbumbungkan langit lantaran akur pada arahan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya membuka binaan khemah pada tengah malam sebelum itu, dilihat bukan penghalang untuk Ustaz Ridzwan dan aktivis lain terus berkumpul.

Ridzwan Abu Bakar

Desakan supaya kerajaan Umno-BN menurunkan harga petrol dan diesel selepas lima minggu naik berturut-turut dengan paras tertinggi sehingga RM2.38 seliter bagi RON95 minggu ini, protes tersebut tetap akan diteruskan.

Selepas melihat Ustaz Ridzwan kemudiannya terjaga dan duduk bersila beberapa minit, Malaysia Dateline datang menghampiri dan bertanyakan apa yang mendesaknya untuk turut sama unjuk rasa.

“Kena ada suara aksi daripada bawah.¬†Orang kampung pun kena tempias harga minyak naik walaupun mungkin tidak seteruk warga miskin bandar,” ujarnya dengan tuala berselempang di leher.

Menurutnya, kenaikan harga petrol dan diesel menambah beban rakyat berpendapatan rendah sama ada yang tinggal di ibu kota mahu pun kawasan luar bandar dan pedalaman.

Walau bagaimanapun, apa yang paling penting rasa tidak puas hati rakyat kepada kerajaan setiap kali pengumuman kenaikan harga minyak tidak bermakna jika tidak diterjemah di kertas undi.

“Soalnya, apakah boleh memberi kepada perubahan sikap terhadap undi? Inilah cabaran kita dalam menyedarkan rakyat akan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

“Bukan sekadar marah dan habis begitu. Pernah saya jumpa kes ada orang kampung yang menganggap untuk hidup berkualiti, kena bayar lebih.

“Tanggapan itu masih ada pada sebahagian orang kampung yang mungkin rasa selesa sebab sayur, ayam hanya di belakang rumah saja.

“Pada mereka kalau ada RM2,000 hidup di kampung sudah cukup,” jelas Ustaz Ridzwan lagi sebelum mengimamkan sembahyang Subuh.

9.7
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 10.0