Orang kampung usah tertipu lagi, nasihat Tamrin

Orang kampung usah tertipu lagi, nasihat Tamrin

Memandangkan isu kenaikan kos pelbagai barang dan perkhidmatan sejak akhir-akhir ini, Datuk Tamrin Tun Ghafar mengingatkan masyarakat luar bandar supaya tidak lagi terpedaya dengan dakwaan kononnya kedudukan mereka khususnya orang Melayu sedang terancam.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Memandangkan isu kenaikan kos pelbagai barang dan perkhidmatan sejak akhir-akhir ini, Datuk Tamrin Tun Ghafar mengingatkan masyarakat luar bandar supaya tidak lagi terpedaya dengan dakwaan kononnya kedudukan mereka khususnya orang Melayu sedang terancam.

Bersimpati dengan kesengsaraan penduduk kampung terutama ribuan peneroka ekoran kejatuhan harga komoditi seperti kelapa sawit dan getah, beliau berkata, golongan berkenaan tidak harus mengulang kesilapan sama lagi dengan memberikan sokongan kepada kerajaan sedia ada.

“Kesian makcik dan pakcik dikampung. Nasihat saya janganlah pisang berbuah dua kali. Semoga tidak tertipu lagi dengan janji-janji manis dan tipu helah yang menakut-nakutkan orang kampung kononnya tanpa Umno Melayu akan mati, raja-raja akan dihapuskan, Islam akan diletakkan sama rata agama lain dan hak orang Melayu akan terhakis. Maka, tepuk dada tanya selera. Pisau di tangan kita,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Mengulas kenyataan Pengarah Media & Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Ridzwan Abu Bakar yang antara lain menyeru rakyat menegakkan kuasa mereka, beliau menambah kesengsaraan warga emas di kampung diburukkan lagi dengan situasi kesempitan hidup anak-anak di bandar.

“Dalam masa sama anak-anak yang bekerja di bandar pula terpaksa minta bantuan kewangan dari mereka (ibu bapa) kerana sewa rumah dan lain-lain di bandar naik mendadak. Mereka terpaksa minta bantuan. Hutang negara semakin tinggi. Bagi mengelakkan negara bankrap jalan mudah ialah (kerajaan) hapuskan sebanyak mana subsidi maka akibatnya kos barang-barang keperluan naik.

“GST diperkenalkan enam peratus setiap barang yang dibeli. Kadar tol naik dari 50 hingga 150 peratus. Mulai 1 Januari ini bil elektrik akan naik 15 peratus bermakna barang keperluan dari kilang-kilang juga akan naik. Stesen minyak yang sememangnya menggunakan tenaga elektrik pun akan bertambah kosnya dan terpaksa memindahkan kos itu kepada kita pengguna,” jelasnya yang pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Berendam.

Beban anak muda, penuntut beri tempias ibu bapa di desa

Mendoakan semoga Allah menyelamatkan seluruh rakyat manakala “makcik dan pakcik” di desa dapat memahami mesej yang disampaikan, Tamrin turut menyebut tentang senario kebanyakan penuntut universiti pada masa ini yang kemudiannya menambahkan lagi beban ibu bapa di kampung.

“Pengangkutan awam pun telah naik. Bantuan (dana kerajaan) ke universiti-universiti dipotong begitu mendadak sekali maka penuntut terpaksa bayar yuran tinggi. Sekali lagi mak ayah yang dah susah di kampung dibebankan lagi bagi menentukan mereka terus belajar sehingga dapat ijazah.

“Sekarang terdapat kira 600,000 graduan menggangur tapi dalam masa sama 1.5 juta (warga) Bangladesh mulai dibawa masuk bekerja kononnya negara perlukan mereka. Untuk makluman sekarang ini terdapat kira-kira lima juta pekerja asing di negara kita dengan sesetengahnya bermastautin secara haram.

“Penuntut-penuntut yang baru dapat kerja kena potong pinjaman PTPTN yang terpaksa mereka ambil bagi membiayai kos pelajaran. Mengapa ini boleh terjadi kepada kita rakyat Malaysia? Singapura tidak ada sumber asli seperti sawit, getah, bijih timah, petrol, gas dan lain-lain tapi negara tersebut tidak berhutang malah mempunyai simpanan negara yang begitu hebat,” ujar Tamrin lagi.

Sementara itu, Ridzwan dalam kenyataannya sebelum ini berharap supaya rakyat tidak menjadi senaif rakyat Mesir pada zaman Firaun ketika Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional (BN) dianggapnya berjaya menjadi Firaun ekoran pelbagai kepincangan dan kes berprofil tinggi.

“Dalam masa yang sama, untuk kekalkan kuasa Najib dan BN, mereka ‘uji’ pula rakyat dengan memusatkan ‘kuasa’ jaga ‘keselamatan’ kepada Perdana Menteri, rakyat yang menjadi ‘musuh’ Perdana Menteri boleh diambil pelbagai tindakan di bawah Akta Majlis Keselamatan Negara 2015.

“Apapun, rakyat tak bangkit, rakyat masih sibuk kenduri tengok bola, gossip hiburan dan aktiviti santai biasa. Rakyat tak berasa diuji dengan makhluk yang bernama Najib, lalu Najib lulus ujian ini selepas banyak menguji rakyat dengan pelbagai hikayat misteri,” kata Ridzwan lagi dengan menyenaraikan isu antaranya berkaitan ‘derma’ RM2.6 bilion, kontroversi 1MDB, pembaziran projek Permata yang dinaungi Rosmah Mansor serta misteri pembunuhan Altantuya.

Penekanan Tamrin kepada masyarakat Melayu di luar bandar dilihat mempunyai kaitan dengan pola keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 2013 lalu yang menyaksikan 64 peratus undi Melayu berpihak kepada BN dengan Johor merekodkan sokongan Melayu tertinggi kepada BN iaitu 84 peratus.

Terdapat 119 daripada 222 jumlah keseluruhan kerusi Parlimen terdiri daripada majoriti Melayu, 29 kerusi majoriti Cina dan 36 kerusi campuran manakala 38 kerusi lagi Bumiputera Sabah dan Sarawak.

TAGS