Malaysia Dateline

Kadir A Jasin menyifatkan Husam dan Matthias adalah patriot dan wira negara,

Orang kasta dewa sekat saya bersuara, kata Kadir Jasin

Bekas Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin mendakwa Facebook beliau telah disekat selama 24 jam dan beliau berharap ia bukan kerja para penyokong Datuk Seri Najib Razak.

Dalam tulisannya, bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP itu berkata, salah seorang yang memantau media sosial memberitahu beliau, “Inilah cara penghasut-penghasut maya Najib dan laskar siber Umno buat kerja. Mereka berkumpul dan semua mereka membuat laporan serentak terhadap sesuatu komen atau tampalan yang selalunya boleh menyebabkan seseorang disekat.”

“Saya harap penjelasan sahabat saya mengenai “trolls” dan “cybertroopers” itu tidak betul. Tapi kalau betul, amatlah mendukacitakan kerana orang dari kasta dewa boleh menggunakan kuasa politik dan duit ringgit bagi menafikan hak orang ramai bersuara di alam maya,” tulis Tokoh Wartawan itu dalam tulisan beliau.

Menurut Kadir, mulai kira-kira jam 6.00 petang Khamis, 31 Disember, kesampaian beliau kepada Facebook disekat (blocked) selama 24 jam seperti notis di bawah.

Alasannya kerana “didn’t follow our community standard” (tidak mematuhi piawaian komuniti kita) dalam tampalan pada 31 Disember dan 26 Jun.

Selama tempoh sekatan tersebut, Kadir tidak boleh sentuh Facebook beliau dan Facebook sesiapa pun kecuali untuk baca.

Setelah membaca balik empat rencana yang beliau siarkan pada dua tarikh tersebut, Kadir tidak mengesan apa-apa yang luar biasa atau di luar norma tampalan-tampalan saya.

Lantas beliau maklumkan kepada beberapa orang sahabat dan bertanya jika mereka tahu sebab musabab sekatan dikenakan ke atas Facebook itu.

Salah seorang yang memantau media sosial memberi jawapan berikut: “It’s how Najib’s trolls and Umno cybertroopers work. They group together and all do a report on a comment or post en-masse, which normally could get a person blocked.”

“Wallahuaklam. Tapi ada lojiknya kerana dalam recana bahasa Inggeris mengenai moratorium pembayaran balik pinjam bank dan pengeluran simpanan KWSP itu, saya ada menyebut nama Najib, 1MDB dan SRC International Sdn Bhd. Mungkin ini adalah antara kata-kata kunci untuk menggerakkan tindak balas.

“Lagi pun Najib sendiri melakukan serangan balas terhadap dengan mengulangi fitnah mengenai Realmild Sdn Bhd. Lojiknya, bila saya tulis dan orang balas, tak perlulah nak sekat-sekat. Kita mainlah cara anak jantan,” kata beliau.

Selalunya, kata beliau, rencana dalam bahasa Inggeris tidak mendapat komen yang banyak. Tapi dalam kes ini, ia mendapat lebih 700 komen yang kebanyakannya jenis “dedak”.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi mengenai pihak-pihak yang ada pengaruh ke atas Facebook terlibat dengan penafian hak saya walaupun rencana bertajuk “Dangers of Bleeding Banks and EPF” itu kritikal terhadap sesetengah tindakan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap penjelasan sahabatnya mengenai “trolls” dan “cybertroopers” itu tidak betul.

“Tapi kalau betul, amatlah mendukacitakan kerana orang dari kasta dewa boleh menggunakan kuasa politik dan duit ringgit bagi menafikan hak orang ramai bersuara di alam maya,” katanya.