Malaysia Dateline

Orang kaya boleh beli kerajaan nanti, kata Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui sememangnya tidak mudah untuk melawan amalan rasuah.

Beliau berkata, salah guna kuasa akan berkembang dengan lebih teruk lagi jika tiada sedikitpun usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan wang.

Justeru menurutnya, jika Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diberi sokongan dan peluang, perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dapat dikurangkan.

“Pejuang menjemput mereka yang sedar akan bahaya rasuah untuk menyokong atau menyertai perjuangannya.

“Kita sudah dengar berkenaan usaha untuk menukar nilai hidup kita supaya yang tidak baik menjadi baik dan yang baik menjadi tidak baik.

“Apabila mencuri dianggap tidak salah, maka rasuah, menipu, hukuman salah, membohong – semua ini pun tidak salah juga,” katanya dalam satu hantaran terbaharu di blognya.

Pada masa sama, bekas Pengerusi Bersatu itu juga berkata, pada masa hadapan mereka yang mempunyai wang nampaknya dengan mudah boleh membeli dan menubuhkan kerajaan.

Ia katanya terbukti dengan situasi kerajaan Sabah ketika ini yang hampir digulingkan selepas 13 ahli kerajaan didakwa dibeli dengan berjuta ringgit.

Tegas Mahathir lagi, tidak akan ada “Rule of Law” dalam negara yang kerajaannya terdiri daripada penjenayah.

Malah, jelasnya, mungkin ada yang berpendapat kerajaan penjenayah tidak mungkin berlaku di negara ini, namun ianya sudah pun berlaku dan penjenayah sudah pun dibicara dan didapati bersalah.

“Besar kemungkinan di masa hadapan penjenayah kaya akan beli kerajaan dengan berjuta ringgit dan pemerintahan kuku besi didiri oleh penjenayah.

“Atas kesedaran kemungkinan inilah maka parti Pejuang ditubuh. Kita akan tentukan pemimpin Pejuang akan terdiri dari pejuang-pejuang anti-rasuah dan anti-politik wang.

“Percayalah kami mempunyai banyak cara (idea) untuk menjayakan peperangan kami melawan rasuah dan politik wang,” kata Mahathir lagi.