Malaysia Dateline

Orang kaya di Indonesia buat majlis khatan seperti konsert, berhabis lebih RM800,00

Di Malaysia, majlis berkhatan kebiasaannya diadakan secara bersederhana dengan acara memotong pulut kuning, kenduri doa selamat dan diikuti dengan ‘adat’ menjirus air dengan bantuan anggota dari balai bomba.

Tetapi lain pula yang berlaku di sebuah kota di Indonesia apabila dilaporkan seorang hartawan di Bandung mengadakan majlis berkhatan secara besar-besaran seperti acara konsert.

Berdasarkan video tular di laman TikTok, majlis berkhatan itu dihiasi pentas besar dan disertai oleh kumpulan muzik Koplo dari Tuban, Jawa Timur.

Dilaporkan, orang kaya ini berhabis sebanyak 3 bilion rupiah atau bersamaan RM856,029).

“Menjadi sebahagian daripada majlis mewah anjuran orang kaya. Acara selama empat hari dan empat malam,” demikian menurut keterangan pada video tersebut, seperti dipetik Agensi.

Lapor Agensi, ketika akhbar tempatan negara itu menghubungi individu yang memuatnaik video berkenaan, acara tersebut dimaklumkan bahawa ianya milik hartawan terkenal yang memiliki perniagaan angkringan (warung tolak) di Kota Kembang.

Menurut Gito yang merupakan pemilik Pixel Visualindo, acara tersebut itu juga berlangsung selama empat hari.

“Daripada maklumat yang saya tahu, kos majlis itu ialah 3 bilion rupiah (RM856,029),” kata Gito.

“Tujuan keluarga berkenaan menganjurkan acara berkhatan yang meriah sebegitu adalah kerana mempunyai ramai tetamu selain mahu memberikan hiburan kepada penduduk setempat,” jelasnya.

Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.

“Ini yang dinamakan bersedekah untuk menghiburkan diri sendiri dan orang lain,” kata seorang pengguna media sosial