Malaysia Dateline

Orang Kelantan berpusu beli barang kemas

Kedai emas di sekitar Kota Bharu diserbu orang ramai ekoran penurunan mendadak harga emas sejak minggu lalu.

Mereka mengambil peluang membeli barang kemas yang kini berada pada harga antara RM223 hingga RM234 per gram.

Seawal 9 pagi pengunjung memenuhi kedai emas bagi mendapatkan koleksi emas diidamkan.

Bagaimanapun, keterujaan pengunjung untuk membeli emas menyebabkan sebahagian besar mereka mengabaikan penjarakan fizikal.

Malah, ada sebahagian kedai agak kecil, padat dengan pengunjung dan pemilik tidak mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) atau meminta pengunjung masuk secara berperingkat.

Walaupun masing-masing memakai pelitup muka, mereka bagaikan terlupa bahawa kes Covid-19 semakin meningkat khususnya di Kelantan.

Pengunjung, Rosnani Abdul Rahman, 40, berkata dia sanggup datang dari Pasir Mas ke Kota Bharu selepas mendapat tahu harga emas di bandar ini lebih murah berbanding di Pasir Mas.

“Sebagai peminat emas, saya sudah menjangka situasi di kedai emas padat dengan pengunjung memandangkan harga emas turun sejak minggu lalu dan hari ini paling rendah.

“Memang keadaan agak padat dan saya perlu menunggu hampir 30 minit untuk melihat koleksi memandangkan premis dipenuhi orang ramai,” lapor BH hari ini.