Ramai kutuk drama ‘Keluarga Itu’ jijik, Erma Fatima hanya mahu papar realiti sebenar

Oleh MAISARAH AISYA

Kes sumbang mahram ini sudah berpuluh tahun terjadi dan hingga kini angkanya semakin meningkat walaupun sudah terang lagi bersuluh bahawa ia adalah haram dan berdosa.

Apabila ada drama dibuat berdasarkan realiti hitam ini mulalah ramai mengadu bahawa ia adalah jijik sedangkan ini terjadi di dunia sebenar.

Sedar akan kritikan diterima, pengarah dan penerbit Erma Fatima menerusi perkongsian di Instagram membidas balik kata-kata netizen.

“Bila aku buat drama ni (Keluarga Itu), anda semua kutuk kata menjijikkan tapi ini realiti di luar sana?

“Masih nak simpan bawah karpet? Jiwa orang kita makin sakit.

“Tolonglah kerajaan ambil peduli dan cari solusi untuk bantu bendung masalah ini. Menyedihkan,” kongsinya di Instagram.

Rata-rata pengguna Instagram bersetuju bahawa masyarakat perlu membuka mata akan isu yang semakin meningkat di Malaysia bukan hanya fokus drama cinta sahaja.

“Netizen kita tak terbuka dalam isu Iman dan Walid tapi ada sahaja orang macam mereka yang berselindung. Tahniah kak Erma, awalnya dikecam kini ramai mula menerima.

“Tadi saya padam komen tentang bangsa kita ada golongan sesat dan menyorok disebalik agama tapi saya dikecam, banyak jenis yang tak boleh terima kebenaran dan kenyataan.

“Betul, bila nak didik masyarakat dikatanya mengaibkan, menjatuhkan maruah, sedangkan kita tengaj bongkar serta didik masyarakat untuk peduli dengan keadaan sekeliling.

“Mereka dalam fasa menidakkan bahawasanya dalam masyarakat ni sudah bernanah kes haruan makan anak,” antara komen pengguna Instagram.

Baca juga: Dua beradik tuai pujian sebab pakai duit raya beli cincin emas, pilih sendiri bagi ibu pakai