Orang nombor dua Parlimen ingatkan wakil rakyat kuasai bahasa Melayu

Oleh ARIF ATAN

Datuk Mohd Rashid Hasnon

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengingatkan seluruh wakil rakyat untuk menguasai bahasa kebangsaan agar perbahasan berjalan lancar.

Orang nombor dua Parlimen berkenaan juga menyambut baik syor sebelum ini berhubung kursus bahasa Melayu kepada Ahli Parlimen.

“Saya nak memberi satu nasihat dahulu, kepada semua Ahli Parlimen untuk menjaga tatabahasa mereka. Saya ingat ada cadangan supaya kursus bahasa diberikan kerana sebagai Ahli Parlimen, apa diucapkan itu adalah sesuatu yang rakyat pegang.

“Jadi, lebih baik bersedia untuk mengkayakan diri dengan ilmu khususnya bahasa Melayu dalam cara bercakap dan memberikan pandangan,” dipetik dalam wawancara akhbar Sinar Harian hari ini.

Menurutnya yang sebelum ini memperoleh 171 undi untuk jawatan itu termasuk dari Ahli Parlimen pembangkang, adalah lebih baik wakil rakyat membaca terlebih dahulu sebelum menyatakan pandangan mereka.

“Satu lagi amaran daripada kami yang menjaga dewan, kita juga ada had-hadnya.

“Kalau terlepas sama ada sengaja atau tidak disengajakan maka kita akan keluarkan mereka mengikut peraturan Dewan Rakyat,” tegasnya.

Rashid turut berharap supaya 222 wakil rakyat yang kembali bersidang hingga 11 Disember depan sentiasa bertanggungjawab untuk berada di Parlimen.

“Saya nak supaya ahli Parlimen bertanggungjawab secara terbaik untuk terus duduk dalam Parlimen. Dalam proses kita nak menghalau ahli Parlimen keluar, paling minimum ialah kita minta tarik balik,” ujarnya lagi.

Mesyuarat kedua penggal pertama Dewan Rakyat ke-14 mulai hari ini menyaksikan kembalinya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikenali sebagai pemimpin yang menguasai bahasa kebangsaan dengan baik ke Parlimen.

Kemunculan Anwar dijangka mewarnai kembali Dewan Rakyat dengan perbahasan yang bermutu dalam bahasa Melayu memandangkan sesetengah Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dilihat terlalu lemah untuk berhujah dalam bahasa kebangsaan.