Malaysia Dateline

Orang nombor satu Pas Perak petik Surah Pengumpat

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria pagi ini memetik ayat pertama Surah Al-Humazah yang bermaksud Pengumpat.

Ditulis maksud ayat tersebut dalam Facebooknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol itu juga menyampaikan pesan.

“Apa title sekali pun berhati-hatilah kita,” katanya ringkas diikuti petikan ayat itu berserta terjemahan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Ayat pertama dari surah ke-104 dalam al-Quran yang terdiri daripada sembilan ayat Makkiyyah itu bermaksud, “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji.”

Hantaran bekas pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia di media sosial itu susulan pembatalan tiga ADUN Pas termasuk Razman yang sepatutnya menghadap Sultan Perak petang semalam.

Dua lagi ADUN Pas yang dijadualkan menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam ialah Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Walau bagaimanapun, Setiausaha Politik Razman dalam reaksinya menyebut Pas mahu mengadap Tuanku dengan persediaan yang rapi dan tidak mahu mengecewakan Sultan Nazrin.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan malam tadi berkata, parti itu tidak mahu terkhilaf dalam membuat keputusan berhubung pembentukan kerajaan baharu di Perak.

Kemelut politik di Perak masih berlarutan selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak pada 5 Disember lalu bersama-sama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang itu berbuat demikian selepas gagal mendapat sokongan dalam usul undi percaya majoriti ahli Dewan.

Timbalan Presiden Bersatu berkenaan hanya mendapat sokongan 10 undi berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali terhadap usul undi percaya yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru).

Sehingga petang semalam, tiada parti politik yang mempunyai majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Negeri Perak sekali gus gagal meyakinkan Sultan Nazrin untuk melantik Menteri Besar Ke-14.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mengandungi 59 ahli keseluruhan dan memerlukan 30 kerusi untuk majoriti mudah.

Berdasarkan jumlah semasa, Umno menguasai 25 kerusi dalam DUN Perak, diikuti DAP (16), AMANAH (5), Bersatu (5), Pas (3), PKR (3), Gerakan (1) dan seorang wakil rakyat Bebas.