Tindakan kerajaan mahu memansuhkan skim saraan terhadap penjawat awam menimbulkan kerisauan pelbagai pihak.
Media melaporkan kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam bermula Februari depan adalah berstatus tetap tetapi tidak berpencen.
Bagaimanapun status pencen penjawat awam itu tetap ada cuma kelak akan dibuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Isu ini tidak dipersetujui ramai termasuklah Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli yang tidak senang akan hal tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Mohd. Shukri secara peribadi tidak bersetuju jika pemberian pencen buat penjawat awam atau ahli politik, wakil rakyat dihapuskan pihak kerajaan.
Tambahnya majotiri rakyat di negara ini adalah penjawat awam dan akan terkesan sekiranya pemberian penceng digantikan dengan caruman KWSP.
“Penjawat awam yang sudah 30 ke 40 tahun bertugas dengan kerajaan apabila telah tamat perkhidmatan apa mereka nak buat?
“Dan orang politik ini pun kalau dari muda dah terlibat dalam bidang ini, tiba-tiba tamat karier dan tak ada pencen, tak kan mereka nak kerja sawah padi?
“Secara peribadi saya memang tak setuju pencen ini dihapuskan dan perkara ini perlu dikaji semula,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.
Pada masa sama beliau melihat pemberian pencen sememangnya akan memberi kesan buat negara namun aspek kesejahteraan rakyat juga perlu diambil kira oleh kerajaan.
“Jangan hanya fikir kerajaan nak cari untung tapi mereka juga mesti cari jalan untuk sejahterakan rakyat,” ujarnya.
Cuepacs minta kaji semula
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat juga mencadangkan kerajaan mengkaji semula pemberian pencen.
Ini adalah melibatkan ahli-ahli politik membabitkan wakil rakyat sekiranya negara berdepan kekangan kewangan sehingga terpaksa menyekat skim saraan perkhidmatan awam.
Kerajaan dikatakan membelanjakan sehingga RM2 bilion setahun untuk membayar pencen bekas ahli parlimen dan bekas anggota Kabinet termasuk Perdana Menteri lapor Utusan Malaysia.