Malaysia Dateline

Orang politik perlu cermati, terjemah titah Sultan Perak dalam tindakan

Ramai yang memuji dan merasakan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak pagi tadi sesuatu yang menepati apa yang rakyat rasakan ketika ini.

Tuanku meneliti dan memahami gerak tari orang politik. Tuanku tahu apa di sebalik setiap yang berlaku.

Seperti sebelum-sebelumnya, banyak titah Tuanku yang menasihat dan menegur secara langsung hal-hal berkait kepimpinan dan masalah-masalah yang timbul dalam negeri dan negara membuka mata banyak pihak.

Tetapi kebiasaannya, keterujaan dan kekaguman terhadap titah yang bersifat terus terang daripada Tuanku hanya terzahir di portal berita, akhbar dan hantaran-hantaran di media sosial. Tidak benar-benar diterjemah dalam bentuk tindakan atau polisi di kalangan orang-orang politik.

Percayalah, seminggu dua lagi, intipati titah Tuanku akan berlalu begitu sahaja dan perjalanan politik akan terus berada dalam kepompong dan tempurung yang sama. Semoga kali ini tidak begitu.

Bagi parti AMANAH, khususnya di negeri Perak ini, apa yang dititah Tuanku sebaiknya dicermati dan diadunkan nasihat-nasihat itu dalam setiap tindakan dan polisi yang dibuat.

Jangan lagi kita merasakan politik adalah medan mencari musuh. Tetapi mengubahnya kepada medan membawa kesejahteraan kepada semua.

Kita seharusnya bangga dan beruntung dianugerahkan seorang Sultan yang mempunyai pemikiran yang tidak bertentangan dengan pemahaman dan narasi perjuangan kita, AMANAH.

Tetapi iltizam yang tinggi untuk kita berupaya mengoperasikannya dalam masyarakat menuntut kita bekerja sama antara satu sama lain dan bergerak secara berpasukan bagi menatijahkan sesuatu yang membawa manfaat kepada negeri dan rakyat.

Marilah sama-sama kita berusaha dengan kemampuan dan kekuatan yang ada bergerak memperkukuhkan parti dan kesatuan kita dalam menempuh cabaran ke depan dengan dipandu nasihat yang terkandung dalam titah Tuanku.

Semoga episod yang berlaku sepanjang perjalanan parti ini, termasuklah kemelut yang melanda negeri baru-baru ini menjadi vaksin kepada parti agar terus cekal membawa obor rahmah untuk semua.

 

*KHAIROL NAJIB HASHIM merupakan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perak.