Malaysia Dateline

Orang ramai berjemaah jawab apa ‘kelebihan’ Nik Abduh, Pas

Lebih kecaman daripada sokongan jauh sekali pujian.

Itu nasib dialami Nik Mohamad Abduh Nik Aziz apabila hantarannya di Facebook malam ini mendapat ‘sambutan hangat’ warganet.

Walaupun begitu, dilihat lebih banyak kecaman apabila Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu memulakan dengan ayat tanya berkaitan pegangan agama.

“Jika ditanya, ‘Apa kelebihan dirimu?’

“Jawablah, ‘Dalam lebih 4,000 agama di dunia ini, saya dilahirkan dalam agama Islam.

“Tiada lagi kelebihan selepas itu selain mensyukurinya,” kata adik kepada pemimpin AMANAH Kelantan, Nik Omar Nik Aziz yang sebelum ini merupakan calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) lalu.

Susulan itu, warganet yang umum dikenali sebagai kreatif dalam menggunakan kata-kata pedas bernada sindiran dilihat telah ‘berjemaah’ membanjiri ruangan komentar pada status Facebook tersebut.

“Kelebihan lowbuy (lebai)? Ada Mercedes. Boleh nikah online, cerai melalui WhatsApp dan lain-lain,” perli Nordin Salim.

Tindakan Pas bersekongkol dalam pembentukan kerajaan ‘tebuk atap’ Perikatan Nasional (PN) pada tahun lalu juga dilihat sebagai ‘kelebihan’ parti itu.

“Kelebihan dalam menumbangkan kerjaan yang dilantik rakyat,” tempelak Muhd Faiz.

Pengakuan Nik Abduh sebelum ini pula yang “boleh bercakap” dengan pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat juga dicuit netizen.

“Kelebihan diriku? Aku ada kawan agen CIA,” sindir Ahmad Shahir antara lebih 500 komentar di Facebook Nik Abduh selepas empat jam hantaran itu dimuatnaik.

Sementara itu, lemparan kecaman paling kerap muncul tentunya penunggang agama.

Pengguna Facebook, Mohd Badrul Hisyam menulis, “Kelebihan dirku, aku boleh makan gaji buta sambil menunggang agama” manakala Norazlan bin Abdullah berkata, “Kelebihanku penunggang agama terbaik.”

Malah, ada yang secara terbuka menyifatkan Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok itu tiada sama sekali kelebihan.

“YB memang tak ada kelebihan dan bakat. Saya bercakap secara ikhlas,” ujar Ustaz Halim Salim sekali gus mengundang banyak tanda suka.