Nak dapatkan suntikan penggalak ketiga vaksin Covid-19? Orang ramai dibenarkan ‘walk-in’

Oleh MAISARAH AISYA

Disebabkan peningkatan kes yang Covid-19 di negara ini, mereka yang ingin mengambil dos penggalak ketiga boleh ‘walk-in’ sahaja ke klinik.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi kemudahan kepada orang ramai yang mahu mengambil dos penggalak ketiga vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, prosedur pengambilan vaksin itu juga boleh dilakukan secara janji temu menerusi aplikasi digital, MySejahtera.

“Nak ‘walk in’ di klinik kesihatan boleh, nak buat janji temu pun boleh, kita (KKM) beri kemudahan.

“Stok vaksin masih mencukupi buat masa ini, terutama sekali untuk mereka yang mempunyai risiko atau berkomorbiditi tinggi,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Tambah beliau, pihak mereka tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan kes menjelang minggu cuti tahun baharu, persekolahan dan Hari Natal akan datang.

Bagaimanapun, KKM akan tetap memantau perkembangan kes Covid-19 termasuk varian baharu agar situasi sentiasa berada dalam keadaan terkawal.

“Kita harap dengan langkah pencegahan yang dibuat ini akan berlakunya penurunan kes Covid-19,” ujarnya.

Ketika disoal mengenai kemasukan pelancong asing, Dr Hayati memaklumkan KKM akan terus melakukan pemantauan terhadap warga asing dan tempatan.

Pada masa sama, tiada cadangan untuk membuka semula pusat pemberian vaksin (PPV) buat waktu ini ditambah pula semua masih berada dalam keadaan terkawal.

“Individu yang mahu mengambil suntikan vaksin boleh hadir ke klinik kesihatan atau hospital terdekat,” ulas Dr Norhayati.

Baca juga: Dituduh bunuh pelajar, Deputi Superintendan Mohd Nazri diberi ‘layanan istimewa’?