Malaysia Dateline

Orang ramai diminta buat laporan di balai untuk perjalanan jarak jauh

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai untuk memaklumkan kepada pihak polis sekiranya mahu melakukan perjalanan jarak jauh ke negeri-negeri lain.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihak polis perlu dimaklumkan terlebih dahulu tentang perjalanan tersebut dan orang ramai akan diberikan satu dokumen pengesahan.

Beliau berkata, pemantauan pergerakan orang ramai ini akan bermula tengah malam ini.

“Apabila timbul keperluan untuk mereka balik ke kampung mereka yang terletak di negeri lain, mereka perlu memberitahu kepada ketua polis balai terdekat.

“Kita akan berikan mereka dokumen yang menjelaskan bahawa pembawa dokumen dah maklumkan ke pihak polis yang memerlukan mereka membuat perjalanan atas sebab-sebab yang penting.

“Untuk membuat pergerakan dari satu negeri ke negeri lain, perlu beritahu pihak polis supaya memudahkan perjalanan. Kita akan bekalkan dokumen untuk sahkan perjalanan mereka,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam sidang sama, Hamid berkata, pihak polis sedang dalam proses menyediakan borang dan dokumen perjalanan di seluruh 156 buah ibu pejabat polis daerah.

Beliau turut menyeru agar rakyat Malaysia tidak mengambil kesempatan di atas penutupan pejabat-pejabat dengan merancangan perjalanan jarak jauh untuk bercuti dan berkelah.

“Saya menyeru untuk ikhlas dan jangan ambil kesempatan keluar. Risikonya amat tinggi. Kita tak tahu apa yang berada di luar dari kediaman kita. Mungkin tempat tersebut telah dicemari oleh pesakit yang tidak dikesan.

“Polis akan sentiasa bekerjasama memudahkan kes-kes yang mana mereka perlu membuat perjalanan tersebut. Tapi jangan ada yang bersifat pentingkan diri cari pelbagai alasan untuk makan angin,” ujarnya.