Malaysia Dateline

Orang ramai mula menyerbu Bazar Ramadhan Jalan Raja

Hari ketiga di Bazar Ramadhan Jalan Raja, Dataran Merdeka Kuala Lumpur menyaksikan orang ramai mula menyerbu kawasan itu untuk membeli belah.

Suasana sangat meriah berbanding dengan suasana pada hari pertama dan kedua bazar itu dibuka.

“Alhamdulillah, orang sudah ramai memenuhi kawasan bazar,” kata seorang peniaga yang ditemui.

Suasana ini bertepatan sekali dengan keyakinan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dalam sidang medianya malam tadi.

Dalam sidang media itu Khalid yakin suasana akan meriah selepas minggu kedua berpuasa kerana bazar ini lebih memberikan penekanan kepada persiapan raya bukan persiapan untuk berbuka.

Namun pada hari ketiga bazar itu dibuka, orang ramai sudah memenuhi bazar itu.

Sebelum ini, pegawai Kementerian Wilayah Persekutuan menjelaskan, Bazar Ramadhan di Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur mempunyai konsep tersendiri dan berbeza dengan bazar-bazar Ramadan yang lain.

Ini kerana bazar ini lebih memberikan fokus sebagai pusat membeli belah untuk persiapan Syawal bukannya untuk berbuka puasa.

Zulhazmi Shariff, Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Wilayah Persekutuan berkata, “Bazar Ramadhan” yang dianjurkan di Dataran Merdeka hanya bagi jualan pakaian, barangan keperluan untuk menyambut Aidilfitri dan seumpamanya sahaja.

“Bazar Ramadhan Jalan Raja ini tidak menjual juadah berbuka puasa seperti bazar-bazar Ramadhan yang kebiasaannya di taman-taman perumahan.

“Jadi, jika nak cari nasi kerabu, murtabak dan sebagainya, Bazar Ramadhan Dataran Merdeka bukan tempatnya,” katanya.