Orang Utan bunuh manusia: Zuraida sohor dikecam di Twitter

Oleh ARIF ATAN

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin menjadi bahan perbualan dan kecaman pengguna Twitter apabila lebih 6,200 ciapan bercakap mengenainya setakat tengah malam ini.

Ahli Parlimen Ampang berkenaan juga mengundang cemuhan orang ramai apabila mengatakan singa wujud di negara ini.

Malah, tidak cukup itu, dia dikritik kerana menggunakan bahasa rojak dalam ucapan di sebuah majlis rasmi.

“Isteri Phua Chu Kang lagi ada kelas bertutur dalam bahasa Inggeris. Low class punya Mak Menteri,” tempelak Rashid Yusoff.

Cara Zuraida berucap yang turut bertanyakan “betul tak” juga dianggap warganet sebagai rasa tidak yakin wakil rakyat Bersatu itu.

“… dia sendiri tidak tahu apa yang dia cakapkan,” selar Mahamood Mubarak.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil juga dalam ciapan di Twitter beliau menyifatkan dakwaan Zuraida bahawa Orang Utan membunuh manusia sebagai kenyataan membingungkan.

Sementara itu, Lee Chean Chung pula berpendapat beliau tidak kisah tentang kegagalan Zuraida menggunakan bahasa Inggeris dengan baik.

Namun, beliau ingin membetulkan fakta Zuraida yang juga bekas pemimpin kanan PKR itu.

“Orang Utan biasanya tidak menyerang manusia, dan singa bukanlah spesies hidupan liar di Malaysia. Kita hanya ada singa di zoo dan tarian singa,” selorohnya.

Dalam masa sama, carian “Orang Utan Zuraida” disahkan Facebook sebagai “popular sekarang” setakat jam 12.30 tengah malam ini.

Pengguna media sosial itu, Mahirah Abdulfatah Haron menegaskan Orang Utan sebenarnya bukan spesies pemangsa yang “bunuh orang” seperti didakwa Zuraida.

“Makcik Zuraida Kamaruddin banyak sangat main poli-taik sampai cakap macam orang bodoh. Merapu atas pentas majlis rasmi.

“Baik Makcik Zuraida pi tolong kenduri sembang-sembang membawang sesama geng makcik-makcik bawang.

“Takpun baik Makcik Zuraida buat lawatan sambil belajar ke Zoo Negara dari pi obersea melancong enjoy gaji puluhan ribu #betultak?” perli Mahirah lagi.