Di tempat kita, urusan ibadat khusus yang sering menjadi punca atau pencetus pertelingkahan antara agamawan semenjak dulu hingga kini hanya dua iaitu solat dan zikir.
Ibadat zakat jarang menjadi pencetus pertelingkahan. Jika ada pertelingkahan pun, sekejap atau kecil saja. Berlaku transaksi zakat, habislah pertelingkahan.
Ibadat haji atau umrah juga sama. Dalam kedua-dua ibadat ini, jika ada pertelingkahan, bukan soal ibadat itu sendiri tapi soal-soal berkaitan pengurusan atau kewangan. Selesai kedua-dua urusan itu, selesailah pertelingkahan.
Ibadat puasa langsung tidak didengar pertelingkahan. Apatah lagi jika dapat berbuka makan sedap-sedap. Jika ada pertelingkahan, bukan berkaitan puasa tapi berkaitan solat tarawikh dan zikir serta selawat sela-sela terawikh. Balik asal.
Nampaknya, solat dan zikir di tempat kita tidak berfungsi sebagai penyatu. Perpecahan adalah mungkar, namun solat dan zikir tidak berupaya menegahnya. Tentunya bukan salah solat dan zikir, tapi salah kita.
Agaknya di tempat kita, orang rajin bersolat dan berzikir memang suka bertelingkah? Atau, orang yang suka bertelingkah di tempat kita kuat ibadat solat dan zikir?
Jangan sampai jadi begini. Ditanya, “Mengapa tak solat?” Dijawab, “Sebab tak mau bergaduh!” Atau, “Mengapa malas baca Quran?” Dijawab, “Sebab malas nak berkelahi!”