Malaysia Dateline

Ordinan Darurat bakal habis tempoh 1 Ogos, Agong ada kuasa panggil sidang Parlimen

Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim mengingatkan tempoh Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 bakal berakhir 1 Ogos ini.

Pakar perlembagaan itu berkata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memanggil sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Rakan-rakan maya wajar teliti s.14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang bakal habis tempohnya 1 Ogos 2021.

“Sub-section (1)(b) memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen.

“Kuasa ini diturunkan terus kepada Baginda. Penurunan kuasa selesai,” katanya di Twitter .

Dalam hal berkaitan, Rais dilapor berkata, takrifan Parlimen perlu bersidang secepat mungkin adalah tidak lewat dari tarikh 1 Ogos ini.

Ketua Bersatu Bahagian Jelebu itu berkata, jika persidangan Parlimen dicadang berlangsung melewati Ogos, ia bukan takrifan ‘secepat mungkin’ seperti dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.

“Saya anggap pandangan Yang di-Pertuan Agong itu sebagai amat mudah untuk difahami dan dilaksanakan iaitu secepat mungkin.

“Maka, kalau secepat mungkin tak boleh lewat dari 1 Ogos. Itu satu interpretasi mudah dan normal bagi kita dalam dunia undang-undang.

“Kalau sudah bawa (sidang Parlimen) kepada September, itu bukan secepat mungkin tetapi ia satu intepretasi yang lain,” lapor BH.

Sebelum ini, Jawatankuasa Tamat Darurat yang ditubuhkan sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang memohon Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen pada bulan Julai depan.

Pengerusi jawatankuasa itu yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad, berkata, Seksyen 14 dan Seksyen 15 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh yang sesuai memanggil sidang Parlimen tanpa perlu nasihat Perdana Menteri, sekiranya Perdana Menteri lambat atau ingkar.