Malaysia Dateline

Ordinan Darurat KWAN umpama mencuri dari generasi akan datang

Tindakan kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 (KWAN) yang membolehkan kerajaan menggunakan dana kumpulan wang itu untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan adalah mencuri daripada generasi akan datang.

Sehubungan dengan itu, tokoh media, Datuk A Kadir Jasin berkata, sesiapa sahaja yang subahat dengan kerajaan ini adalah juga subahat dalam pencurian eksekutif KWAN beralasankan darurat.

“Bolehkah kita katakan bahawa mencelup ke KWAN adalah satu tindakan pencuri eksekutif di bawah kegagalan kecemasan?

“Ia akan mencuri daripada generasi akan datang,” kata bekas Penasihat Media Perdana Menteri itu melalui Facebooknya.

Mengikut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.

Menurut seksyen 5 (c) akta itu, sumbangan boleh dibuat oleh mana-mana negeri di Malaysia yang mendapat royalti daripada petroleum dan sumber alam lain yang akan habis.

Ordinan Darurat yang diwarta pada 20 April 2021 menambah subseksyen baru ke dalam Seksyen 6 akta itu dengan membenarkan pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi suatu wabak apa-apa penyakit berjangkit sebagaimana yang dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Namun tidak ada siapa boleh memberikan jaminan ia hanya digunakan untuk pembelian dan perbelanjaan untuk vaksin sahaja kerana Parlimen sudah tidak boleh bersidang selepas darurat diisytiharkan.

Pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, dana berkenaan yang ditubuhkan pada tahun 1988 adalah untuk digunakan oleh generasi akan datang apabila sumber minyak dan gas negara berkurangan.

“Ini duit generasi akan datang, mengapa wang milik mereka diambil dengan begitu mudah sekali? Ini amat tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis lepas.

Muhammed menambah, sekiranya matlamat kerajaan adalah untuk membeli vaksin, terdapat banyak lagi sumber lain yang boleh digunakan.

“Tetapi mengambil hak kanak-kanak dan generasi akan datang bukan jawapannya. Kerajaan boleh dengan mudah mengenakan cukai durian runtuh ke atas syarikat sarung tangan.

“Malah pada hari yang sama ordinan ini dilaksanakan, kerajaan telah meminjam AS$1.3 bilion daripada pasaran kewangan. Kenapa perlu sentuh dana KWAN?

“Persoalannya, mengapa kerajaan menggunakan wang KWAN yang berjumlah lebih kurang RM18 bilion untuk membeli vaksin apabila peruntukan hampir RM5 bilion telah diumumkan untuk tujuan yang sama,” katanya.