Organisasi mesti guna teknologi digital untuk kekal relevan: MYNIC

Organisasi mesti guna teknologi digital untuk kekal relevan: MYNIC

Organisasi di Malaysia mesti menggunakan proses digital dalam inovasi perniagaan mereka untuk mengembangkan operasi selain kekal relevan dalam industri.

Ketua pegawai eksekutif MYNIC Bhd Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata organisasi, terutama peniagaan, tidak akan dapat bertahan jika mereka tidak berevolusi dan mengguna pakai teknologi supaya seiring dengan pesaing disruptif.

“Penggunaan teknologi disruptif seperti blockchain, keselamatan siber, identiti digital dan cap dagang, akan terus mengubah dan mencorakkan semula cara hidup kita.

“Daripada teruk terjejas akibat perubahan ini, landskap perniagaan wajar memanfaatkan secara kreatif keupayaan teknologi yang dibawa oleh revolusi digital untuk memaksimumkan pendapatan dan akhirnya merangsang ekonomi digital dan pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh,” katanya pada Sidang Kemuncak Teknologi MYNIC 2019 (MYTS2019) di sini hari ini.

Persidangan sehari itu yang menghimpunkan kira-kira 500 profesional dan pengamal teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bermatlamat meneroka trend semasa dalam ICT selain berkongsi pengetahuan mengenai cara untuk mengenal pasti peluang baharu dalam perniagaan.

Bertema ‘Daya tahan dalam revolusi ICT’ MYTS2019 dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Tan Chuan Ou, bagi pihak Timbalan Menteri berkenaan, Eddin Syazlee Shith.

Tan turut membaca teks ucapan bagi pihak Eddin Syazlee.

Hasnul Fadhly berkata memandangkan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia dikawal selia oleh  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, MYNIC akan memberi sokongan penuh ke atas aspirasi serta usaha kerajaan bagi membolehkan rakyat Malaysia memulakan ekonomi digital dan berkembang di seluruh dunia dengan memanfaatkan domain MY sebagai pilihan identiti mereka.

“Kami akan berusaha untuk memperkasakan perniagaan dan industri supaya menjadi sebahagian daripada ekonomi digital menerusi pembangunan nama domain industri yang merupakan sebahagian daripada infrastruktur ICT di Malaysia, katanya.

MYNIC ialah pentadbir tunggal alamat web yang berakhir dengan .my di Malaysia.

— BERNAMA