Malaysia Dateline

Orkestra Keluarga Malaysia tidak memainkan irama rakyat

Kadang-kadang apabila terfikir politik di negara ini dan pergelutan taruh kuasa, saya merasakan seolah-olah Kabinet dan perdana menteri di negara ini bagaikan berada dalam satu orkestra.

Orkestra adalah himpunan yang terdiri daripada instrumen bertujuaan, perkusi, angin dan tembaga. Sering kali, orkestra ini terdiri daripada ramai pemuzik dan mungkin disertai dengan korus atau menjadi instrumental semata-mata.

Alat-alat muziknya terdiri daripada mereka yang berada dalam kelompok strings (selos, bass double , violas, violin pertama dan kedua), tembaga (trompet, tanduk), woodwinds (bassoons, clarinets, oboe, flutes) dan perkusi.

Kinerja orkestra biasanya dipimpin oleh seorang konduktor yang mengarahkan prestasi dengan pergerakan tangan dan lengan, sering dibuat lebih mudah bagi para pemuzik untuk melihat dengan menggunakan tongkat konduktor.

Konduktor menyatukan orkestra, menetapkan tempo dan membentuk himpunan bunyi. Namun sejak langkah Sheraton kita telah kehilangan orkestra Malaysia yang diharap-harapkan.

Konduktor atau maestro yang memimpin orkestra telah meletak jawatan berikutan keluarnya sekumpulan pemuzik orkestra yang mengambil langkah khianat putuskan simfoni orkestra yang penuh harapan. Akibatnya orkestra sudah kehilangan pemuzik yang dapat menghidupkan simfoni negara.

Orkestra baharu diwujudkan yang terdiri daripada ahli-ahli muzik lagu-lagu Islam bersama pemusik Perikatan Nasional yang bersatu dan bernasionalisme Melayu. Di samping itu terdapat beberapa pemain alat muzik daripada Sabah dan Sarawak serta ahli muzik Cina dan India.

Simfoni dimainkan tetapi lagu-lagu Islam tenggelam dalam alunan yang dinyanyikan. Namun orkestra yang mengikat pemain muzik nasional terungkai lagi kerana lagu-lagu yang dimainkan muram, senada sahaja tidak membenarkan irama lain ikut serta dengan alasan faktor Covid-19.

Mereka tidak dibenarkan bermain di tempat terbuka di platform rakyat. Namun tidak lama kemudian beberapa ahli pemuzik keluar orkestra kerana tidak setuju dengan irama yang dimainkan.

Maka maestro yang memimpin harus meletakkan jawatan kerana simfoni yang dimainkan tidak disukai pemuzik nasionalis Melayu. Maka maestro baharu mengambil tempat dengan irama Keluarga Malaysia.

Tetapi orkestra Keluarga Malaysia mengalami kesulitan untuk memainkan irama keluarga Malaysia kerana konduktornya bukanlah pemimpin tertinggi daripada nasionalisme Melayu beliau hanya salah seorang pemimpin kanan sahaja.

Malah meastro Nasionalisme Melayu telah mula menggerakkan orkestra sendiri di peringkat negeri di Melaka dan sekarang cuba diwujudkan di Johor.

Namun wujud paradoks pula kerana ada maestro dalam maestro, ada orkestra dalam orkestra. Ini kerana maestro Keluarga Malaysia yang berada di bawah maestro nasionalisme Melayu di peringkat parti tetapi menjadi maestro di peringkat pusat.

Simfoni apakah yang hendak dimainkan jika ada dua kepala maestro di sini. Ada orkestro di peringkat negeri dan bagaimana dengan okkestra di peringkat persekutuan.

Simfoninya makin pincang apabila ada pemuzik-pemuzik geng Bersatu dalam orkestra Keluarga Malaysia ingin menarik diri jika maestro Keluarga Malaysia tidak memainkan simfoni mereka. Lebih pelik kerana ada orkestro itik, katak yang tempang dan melompat.

Malah konduktor orkestra Keluarga Malaysia membayangkan keadaan ini. Orkestra akan bungkus jika mana-mana ahli pemuzik bertindak keluar daripadanya sama ada daripada pemuzik Bersatu atau daripada nasionalisme Melayu sendiri.

Masalahnya orkestra tidak memainkan simfoni rakyat. Mereka memainkan irama keluarga mereka, bukannya keluarga rakyat Malaysia.

Kata-kata Seniman Agung P. Ramlee bahawa “irama dan lagu tak boleh dipisahkan, kalau dipisahkan pincanglah lagu dan rosaklah seni” kini sudah dipisahkan kerana masing-masing ingin memainkan lagu dan irama mereka sendiri.

Lagunya sudah pincang dan seninya sudah rosak. Seni berpolitik memang sudah rosak, memainkan irama dan lagu yang pincang memenuhi temolok dan kuasa untuk mereka yang berkepentingan dan bukan untuk rakyat.


Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)