Orkid ‘Vanda Queen Azizah Iskandar’ daya tarikan di Floria Diraja Putrajaya 2019

Orkid ‘Vanda Queen Azizah Iskandar’ daya tarikan di Floria Diraja Putrajaya 2019
Yang Di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Permaisuri Agong Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika merasmikan koleksi orkid hibrid vanda turut diringi Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad (kiri).

Koleksi orkid hibrid yang baharu diberi nama ‘Vanda Queen Azizah Iskandar’akan menjadi daya tarikan pengunjung ke Floria Diraja Putrajaya 2019 di Taman Botani Presint 1 Putrajaya yang akan berlangsung dari 31 Ogos sehingga 8 September ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, penghasilan baka orkid yang unik itu mengambil sempena nama Permaisuri Agung sebagai satu penghargaan.

“Ini membuktikan kemahahiran pertanian hibraid yang dapat menghasilkan warna tertentu dan berbeza daripada jenis orkid vanda.

“Kita namakannya ‘Vanda Queen Azizah Iskandar’ sebagai satu penghargaan dan minat Tuanku Permaisuri kepada bunga-bungaan,” ujarnya ketika ditemui media.

Sebelum itu majlis perasmian Floria Diraja Putrajaya 2019  telah disempurnakan Yang Di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan  Tunku Permaisuri Agong  Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pada majlis diadakan, Seri Paduka berkenan merasmikan koleksi orkid hibrid ‘Vanda Queen Azizah Iskandar’ bersempena dengan nama Tunku Azizah.

Pasangan diraja itu turut meluangkan masa kira-kira sejam melawat sekitar kawasan tapak festival yang turut diiringi Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad dan Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Menurut Naib Presiden Jabatan Landskap dan Taman Perpadanan Putrajaya (PPj), Datuk (LAr) Baharuddin Aziz berkata, orkid vanda yang dihasilkan itu hasil daripada proses kacukan benih vanda fuch gold dan vanda memorial tienchai sehingga terhasilnya warna kuning keemasan.

“Perbadanan Putrajaya bersama kumpulan penyelidikan pertanian dari United Kingdom dan pengusaha orkid tempatan.

“Orkid hibrid adalah jenis yang terbaik berbanding orkid liar di hutan. Penghasilan warna kuning keemasan itu, adalah satu-satunya warna di dunia hasil daripada dua kacukan vanda dan orkid vanda ini mengeluarkan bau yang lebih harum.

“Vanda Queen Azizah Iskandar telah didaftarkan di International Cultivar Registration Authority pada 17 Julai lepas.

“Orkid hibrid jenis Vanda Queen Azizah Iskandar  boleh diperolehi di Floria atau mana-mana pengusaha nurseri tanaman di negara ini dalam masa terdekat,” ujarnya.

Festival  bunga-bungan, landskap dan tanaman yang bertaraf antarabangsa itu  sejak 10 tahun lalu diadakan di Anjung Floria Presint 4, esok julung kali akan diadakan di Taman Botani Presint 1.

Dengan sasaran 500,000 pengunjung festival  ini  akan  mempamerkan satu juta kuntum bunga-bungaan daripada pelbagai spektrum warna termasuk lebih 500 variasi spesies orkid, lebih 100 koleksi bonsai dan 70 pameran taman dengan pelbagai tema dan reka bentuk.

.Turut disediakan ialah perkhidmatan teksi air yang membolehkan pengunjung  menikmati panorama Putrajaya untuk ke Taman Botani melalui jeti yang terdapat di beberapa lokasi terpilih seperti di Cruise Tasik Putrajaya dan Kelab Tasik Putrajaya.

Selain teksi air, PPj turut menyediakan kereta buggy kepada pengunjung untuk memudahkan perjalanan mereka bersiar-siar di tapak festival.

Bayaran tiket masuk ke festival ini sebanyak RM5 bagi dewasa;  RM3 bagi Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak dan warga ema. Bagi  warga asing RM10 dewasa dan RM6 untuk OKU, kanak-kanak dan warga emas.

Pembelian tiket boleh dibuat  secara atas talian https://ticket.smart.putrajaya.my atau melalui aplikasi Putrajaya mobile.

Pasangan diraja meluangkan masa lebih sejam untuk melihat landskap dan bunga-bungaan yang akan dipamerkan di Taman Botani .

 

.