Malaysia Dateline

OSKVI ketuai pusingan pembiayaan siri A1 bagi TurnKey Lender

OSK Ventures International Bhd mengetuai pusingan pembiayaan Siri A bagi syarikat pemula niaga TurnKey Lender Pte Ltd, bersama dengan Vertex Ventures SEA & India dan Western NIS Enterprise Fund.

Syarikat ekuiti swasta itu berkata dana tersebut akan digunakan untuk meningkatkan penawaran produk penyedia perisian pinjaman dalam talian yang berpangkalan di Singapura itu dan kedudukan global, terutamanya di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Operasi Patrick Yee berkata platform perisian pinjaman berasaskan awan itu akan dapat mencatatkan pertumbuhan yang kukuh dalam bank tradisional dan institusi kewangan.

“Dengan rekod prestasi TurnKey yang terbukti dan asas pelanggan yang berkembang pesat, kami berharap dapat bersaing dengan mereka dalam menyediakan penyelesaian kecerdasan buatan (AI) dan peringkat perusahaan yang kukuh kepada pemberi pinjaman dalam pelbagai spektrum industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rakan Kongsi di Vertex Ventures SEA & India, Carmen Yuen berkata jurang pembiayaan masih amat ketara di Asia Tenggara.

Berdasarkan data McKinsey Global Institute, katanya terdapat jurang sebanyak U$175 bilion dalam pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana.

“Berdasarkan had tenaga kerja dan masa untuk memasarkannya, perniagaan ini lebih baik memanfaatkan platform TurnKey dan menumpukan kepada menyediakan pinjaman.

“Dengan keyakinan ini kami melabur dalam syarikat itu dan terus menyokong mereka,” katanya.

TurnKey, diasaskan oleh peneraju teknologi global Dmitry Voronenko dan Elena Ionenko yang memberikan perkhidmatan kepada pelanggan di 27 buah negara.

Ia menawarkan teknologi automasi perniagaan pinjaman yang dijana AI dengan catatan kredit maju, automasi keputusan dan pengurusan pinjaman bagi pelbagai jenis pemberi pinjaman daripada kewangan mikro setara kepada institusi kewangan global.

— BERNAMA