Osman letak jawatan: PH gagal jamin kestabilan politik, kata MT Umno Johor

Osman letak jawatan: PH gagal jamin kestabilan politik, kata MT Umno Johor

Ahli Majlis Tertinggi Umno menyifatkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ditadbir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai gagal kerana tidak mampu mempertahankan Dato’ Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor.

Ahlinya, Dato’ Sri Azalina Othman Said mendakwa bahawa perkhidmatan singkat Osman sebagai MB Johor memperlihatkan kerajaan gagal menjamin kestabilan politik yang baik.

Katanya, Osman merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pertama dari kerajaan PH yang dilantik menjadi Menteri Besar yang mentadbir Johor dalam tempoh tidak sampai setahun.

“Menggalas jawatan sebagai MB dalam hanya beberapa bulan, menyaksikan kerajaan hari ini gagal menjamin kestabilan politik sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Bagaimanapun kita perlu menghormati keputusan tersebut kerana beliau mengambil langkah berani untuk bertanggungjawab atas kegagalannya.

“Justeru Menteri-Menteri PH yang lain juga perlu berani untuk melakukan hal yang sama (jika merasa mereka gagal dalam menggalas tanggungjawab),”katanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi dan menjawab pertanyaan tentang tindakan Osman Sapian yang meletakkan jawatan walaupun baru beberapa bulan mentadbir.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, berkata, perletakan jawatan tersebut tidak dapat dipastikan sama ada terdapat desakan dari pihak yang ingin merampas takhta MB tersebut.

Jelasnya, desakan tersebut kemungkinan wujud dari akar umbi pimpinan parti itu sendiri.

“Saya tidak pasti jika ada desakan, tetapi saya anggap ini mungkin desakan daripada akar umbi atau ketidakyakinan daripada pucuk pimpinan parti mereka sendiri.

“Namun paling penting, rakyat Johor kini memerlukan Menteri Besar yang baharu yang berwibawa yang mampu menggalas tugas untuk membawa johor kepada kemajuan,” katanya lagi.