Malaysia Dateline

Otai Reformis gesa SPRM siasat penggabungan UEMS-Eco World

Pertubuhan Otai Reformis 1998 hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) susulan cadangan penggabungan dua syarikat hartanah antara UEM Sunrise Berhad (UEMS) dan Eco World Developement Group Bhd (EWDG).

Setiausahanya, Abdul Razak Ismail menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.

Abdul Razak berkata, kebimbangan dibangkitkan kerana penggabungan tersebut membabitkan syarikat pelaburan negara Khazanah Nasional Berhad yang bakal menanggung hutang hutang dari syarikat swasta berkenaan.

“Kenapa Khazanah memilih waktu penularan pandemik Covid-19 dan pada keadaan UEMS yang lemah untuk penggabungan?

“Siapa memerlukan siapa dan siapa makan siapa? Jika dibandingkan, keadaan bebanan hutang Eco World lebih tinggi dari UEMS yang mempunyai nilai simpanan tanah jauh lebih baik.

“Bukankah dengan penggabungan ini maka bebanan hutang Eco World yang bernilai berbilion ringgit beserta tanah-tanah yang dibeli dengan harga mahal akan dipikul oleh UEMS?” soalnya dalam sidang media di hadapan SPRM Selangor hari ini.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan siapa sebenarnya yang untung dalam penggabungan tersebut atau adakah ianya satu ‘bail out’ yang melibatkan syarikat pelaburan negara dan konglomerat swasta.

Justeru katanya, bersandarkan bantahan dan kebimbangan umum yang dibangkitkan dengan jelas, Otai Reformis menggesa SPRM untuk menyiasat jika terdapat unsur-unsur salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan penggabungan UEMS dan Eco World.