Othman sedia tinggalkan Umno jika khidmat sebagai Speaker Melaka disambung

Saya bukan berjiwa pembangkang dan saya akan terus bersama kerajaan sekarang yang dipilih rakyat, kata Othman.

Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad tidak menafikan desas-desus menyertai Pakatan Harapan (PH) sekiranya jawatan disandangnya sebagai Speaker disambung semula untuk penggal ketiga apabila tamat pada 19 Julai depan.

Katanya, keputusan tersebut perlu dibuat beliau kerana Barisan Nasional (BN) kini bergelar pembangkang dan tidak adil baginya berada dalam parti Umno untuk meneruskan jawatan sebagai speaker.

Menurut laman rasmi kerajaan negeri Melaka, Melakakini.my, beliau bersedia melompat parti dan berdepan tohmahan mengatakan beliau tidak berpendirian memandangkan mempunyai jawatan dan bergiat aktif dalam UMNO, Othman mengiyakan jawapan tersebut.

“Kenalah. Jika sambung jawatan sebagai Speaker balik, memang kena. Jika masih BN, kan tidak sesuai. Sebab Speaker yang dilantik mestilah dari parti sekarang. Tak kan saya sebagai speaker tetapi masih anggota BN.

“Saya berjiwa kerajaan, perubahan kerajaan itu saya kena ikut. Saya bukan berjiwa pembangkang dan saya akan terus bersama kerajaan sekarang yang dipilih rakyat,” jelasnya.

Ditanya mengenai tawaran menyertai parti komponen PH yang akan disertai, Othman enggan memberitahu secara lanjut.

“Soal perti itu kemudian. Yang penting saya menyokong kerajaan dan saya sudah menyesuaikan diri dengan kerajaan sekarang.

“Apa pun situasinya selepas ini saya akan tetap bantu kerajaan dan ada banyak perkara saya boleh tolong kerajaan sekarang.

“Jawatan sebagai Speaker masih valid selama dua bulan lagi, ini bermakna saya masih berkhidmat untuk kerajaan.

“Tapi jangan pula jika mahu kekalkan saya kelak, akan jadi masalah kepada kerajaan,” kata beliau lagi.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS