Oyen tumpahkan bahan kimia, 16 anggota bomba terpaksa dikejarkan ke makmal IPG

Oleh WAN SITI AMINAH

Angkara seekor kucing, seramai 16 anggota bomba terpaksa dikejarkan ke makmal di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang, Georgetown.

Menimbulkan huru hara, makmal itu juga terpaksa dikosongkan petang semalam susulan berlaku tumpahan cecair kimia yang berpunca daripada seekor kucing.

Ketika kejadian, kucing tersebut dipercayai menyelinap di dalam makmal sebelum menjatuhkan 10 botol cecair yang mengandungi kimia jenis sodium dehidrogen.

Tumpahan kimia itu kemudian disedari oleh seorang pembantu makmal ketika melakukan pemeriksaan rutin sebelum wanita itu menghubungi talian kecemasan.

Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Fauzian Izzuan Abdullah, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 4.48 petang.

Bertindak atas laporan, seramai 16 anggota termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Bayan Baru dihantar ke tempat kejadian, lapor Berita Harian.

Fauzian Izzuan memaklumkan, pasukan penyelamat bomba segera bertindak mengosongkan bangunan itu sebaik sahaja tiba di lokasi tumpahan kimia.

“Didapati berlaku tumpahan bahan kimia dari botol yang pecah dalam bilik makmal itu. Ia membabitkan 10 botol bahan kimia jenis ‘Sodium Dihydrogen’ sebanyak 500 mililiter (ml).

“Selepas mengenal pasti jenis bahan kimia yang tumpah, pasukan bomba melakukan proses nyahcemar sebelum memastikan bilik makmal benar-benar selamat,” katanya memetik Berita Harian.

Bernasib baik, tiada individu atau aktiviti yang sedang dijalankan di makmal berkenaan berikutan kelas sudah tamat sebelum kejadian mendebarkan itu berlaku.

“Difahamkan, botol berkenaan dijatuhkan oleh kucing yang menyelinap masuk sebelum disedari pembantu makmal.” Jelasnya.

Tambah Fauzian Izzuan, tiada mangsa terlibat dalam kejadian tersebut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.47 petang.

Baca juga: Banyak pasangan pilih nikah di Thailand sebab susah nak poligami di Malaysia? Perlis benarkan perkahwinan tanpa persetujuan isteri no 1