Siapa sangka, Johan masih sempat menjalankan tanggungjawab melakukan kerja rumah di tengah kesibukannya sebagai selebriti, pelawak dan juga penyampai radio.
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh isteri, Ozlynn Waty yang juga merupakan seorang pelakon menerusi satu hantaran di akaun Instagramnya, @jozlynnhanania.
Dalam perkongsian tersebut, Ozlynn dilihat sedang merakam suaminya iaitu Johan yang sedang menyeterika pakaiannya ketika mereka menginap di sebuah inap desa.
Walaupun sempat merungut dalam nada seloroh, Johan juga dilihat langsung tidak keberatan untuk menunaikan permintaan isterinya untuk melakukan kerja rumah itu.
Jelas Ozlynn dalam ruangan kapsyen, pemilik nama sebenar Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz itu telah mengambil alih tugas tersebut sejak dari awal perkahwinan.
“Memang kalau pergi mana-mana tanpa pembantu, dia (Johan) yang akan menolong iron (menggosokkan) baju saya. Memang kami sudah berbincang sejak dahulu lagi.
“Sebelum saya lubangkan baju-baju itu, baik dia yang gosok. Iya, sampai sekarang memang Johan yang gosokkan semua baju,” kongsinya dalam hantaran pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ozzlynn mengakui dirinya memang tidak begitu pandai menggosok baju memandangkan tugas tersebut telah dilakukan oleh bapanya sejak kecil lagi.
Hal ini kerana, kerjaya bapanya sebagai anggota unit beruniform telah menyebabkan lelaki itu cerewet terutamanya dalam memastikan pakaian diseterika dengan betul.
“Rasanya, memang ahli keluarga saya tidak pandai gosok baju. Sebab dari kecil lagi, abah yang bantu gosok dan cuci baju serta kasut sekolah kami (adik-beradiknya).
“Kerja abah sebagai anggota membuatkan dia sangat cerewet bila gosok baju. Jadi anak-anak tidak pandai gosok baju. Siapa macam saya jenis risau nak gosok baju?.
“Saya pernah gosokkan baju mak. Tak tahu apa yang salahnya sehingga berlubang baju sutera mak saya. Jadi lagi saya fobia terus.” Ulas wanita berusia 43 tahun itu.
Sekadar info, Johan dan Ozzlyn telah dikurniakan dengan enam orang cahaya mata hasil perkongsian hidup mereka selama lebih daripada 15 tahun yang lalu.
Baca juga: Tinggal suami lepas kemalangan, wanita tergamak nak kebas semua duit insurans