Malaysia Dateline

P Pinang aktifkan industri pelancongan

Industri pelancongan di Pulau Pinang dirancakkan kembali oleh kerajaan negeri melalui pelbagai inisiatif yang akan diperkenalkan oleh kerajaan negeri, kata Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow.

Menurutnya, kerajaan negeri komited untuk membantu industri pelancongan dirancakkan semula setelah ianya terkesan ekoran pandemik Covid-19.

“Kerajaan negeri telah pun mengambil inisiatif dengan memperkenalkan beberapa tindakan dan langkah baharu bagi merealisasikan Pulau Pinang sebagai destinasi menarik yang akan menjadi pilihan popular di dalam negara ini.

“Sebagai bukti pada tahun 2019 yang lalu, Pulau Pinang menerima 6.39 juta pelancong sekaligus menjadikan negeri ini antara lima buah negeri yang teratas mencatatkan tetamu hotel tertinggi dalam Malaysia.

“Oleh kerana industri pelancongan merupakan tonggak asas kemajuan sosio ekonomi negeri ini pada masa yang akan datang, kerajaan negeri telah memperkenalkan beberapa inisiatif seperti Sistem Akreditasi Pulau Pinang kepada pengendali pelancongan yang berjaya mematuhi prosidur operasi standard ketika penularan wabak Covid-19 bagi meyakinkan lebih ramai pelancong untuk mengunjungi Pulau Pinang,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri mampu untuk membantu Pulau Pinang terus maju sebagai salah sebuah destinasi pelancongan menarik dalam negara ini.