Malaysia Dateline

P Pinang bina Perpustakaan Digital RM4.6 juta

Kerajaan Negeri P. Pinang telah berjaya membina RM4.6 juta Perpustakaan Digital Butterworth atau Butterworth Digital Library (BDL) pertama di Seberang Perai Utara bagi memberi kemudahan kepada rakyat dikawasan tersebut.

Malah perpustakaan tersebut merupakan perpustakaan digital keempat yang telah diwujudkan oleh kerajaan negeri yang telah mula beroperasi sejak 15 Julai yang lalu.

Menurut Pegawai Teknologi Maklumat, Nor Fazira Mat Salleh, tiada had yang ditetapkan bagi pengunjung untuk mengunjungi BDL.

Namun begitu jelasnya, kawalan masih dipraktikkan bagi mengelakkan kesesakan kerana masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Tegas beliau, sebanyak 5494 buah buku elektronik atau e-book dalam pelbagai genre boleh diperolehi dan diakseskan oleh para pengunjung melalui kemudahan yang disediakan.

“Mereka boleh mengakses buku-buku tersebut melalui laptop maupun telefon pintar serta mendaftar sebagai ahli ‘e-book’ dengan bayaran hanya RM60 setahun bagi dewasa serta 50 peratus diskaun bagi pelajar.

“Antara kemudahan lain yang turut disediakan adalah bilik telesidang, bilik seminar, dewan acara serta ruang untuk belajar.

“Manakala untuk kanak-kanak yang berusia antara empat hingga dua belas tahun turut disediakan pelbagai kemudahan pembelajaran yang dapat diakses,” tambah beliau.

Pulau Pinang juga merupakan negeri pertama dalam negara yang telah berjaya membangunkan Perpustakaan Digital melalui fasa 1 dan 2 yang turut merangkumi sebelah Pulau dan Seberang Perai.