Malaysia Dateline

P Pinang buka masjid, surau untuk yang sudah terima vaksin

Kerajaan Negeri Pulau Pinang membenarkan masjid dan surau dibuka di negeri itu termasuk untuk Solat Sunat Aidil Adha nanti tetapi hanya mereka yang telah menerima vaksin walaupun satu dos sahaja dibenarkan memasukinya.

Menurut Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman, keputusan ini berkuatkuasa apabila Pulau Pinang memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara mulai semalam, 9 Jun 2021.

Namun, orang ramai perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi melaksanakan kebenaran itu.

Kerajaan negeri Pulau Pinang juga meminta semua masjid dan surau di negeri itu membuka ruang khas untuk musafir dan pekerja e-hailing bagi membolehkan mereka menunaikan solat.

Untuk solat fardu dan Jumaat, masjid negeri dan daerah dibenarkan menerima sehingga 150 jamaah, masjid mukim 100 orang manakala surau hanya 50 bagi setiap waktu.

Untuk solat dan kebumikan jenazah hanya 30 orang dibenarkan manakala ziarah kubur ditangguhkan.

Semua majlis ilmu dan bacaan Yassin secara fizikal tidak dibenarkan.