P Pinang cipta sejarah, adakan sidang alternatif DUN semasa darurat

Oleh Oleh BORHAN AHMAD

Pulau Pinang mencipta sejarah dengan mengadakan persidangan alternatif Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang pertama di Malaysia demi menghidupkan semula demokrasi berparlimen dan menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri.

Melalui persidangan alternatif yang diadakan di sebuah hotel itu, Adun kerajaan dan pembangkang berpeluang bertanya kepada Ketua Menteri dan Exco kerajaan negeri tentang dasar kerajaan negeri serta menyuarakan masalah yang dihadapi rakyat negeri itu.

Sehubungan dengan itu, Adun Air Puteh Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri di atas penganjuran itu.

“Tak ada alasan mengapa Parlimen harus ditutup. Buka semula Parlimen dan kembalikan demokrasi & kuasa rakyat,” kata beliau menerusi Twitternya hari ini.

Selepas ini, katanya, mesyuarat Dewan Undangan Negeri boleh bersidang secara rasmi bila-bila masa tanpa menunggu darurat berakhir pada 1 Ogos.

Katanya, sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara tentang keselamatan dan kesihatan awam perihal wabak Covid-19, DUN Pulau Pinang boleh bersidang.