P. Pinang mahu kerajaan pusat bina lebih banyak rumah mampu milik

P. Pinang mahu kerajaan pusat bina lebih banyak rumah mampu milik

Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP mahu kerajaan pusat membina lebih banyak rumah mampu milik di negeri itu, terutamanya Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Perancangan Bandar dan Desanya Jagdeep Singh Deo berkata setakat ini pihaknya hanya menerima pengesahan dua projek PR1MA di negeri itu walaupun beberapa pengumuman dibuat sebelum ini.

Rekod kami menunjukkan hanya dua projek yang diluluskan setakat ini oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan tiada permohonan projek PR1MA di bawah Majlis Perbandaran Seberang Perai, katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata dua projek terbabit adalah untuk membina masing-masing 1,823 unit PR1MA di Bukit Gelugor dan 1,248 unit di Batu Ferringhi.

Justeru Jagdeep menggesa Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman membuat penjelasan berhubung angka 16,927 unit PR1MA yang diumumkan beliau bulan lepas.

“Zainal umumkan bulan lepas, Pulau Pinang akan terima 16,297 unit PR1MA namun angka yang kami dapat daripada pihak berkuasa tempatan tunjukkan sebaliknya. Mungkin Zainal patut memberi penjelasan berhubung kenyataannya itu, katanya.

Beliau juga berkata sejak diperkenalkan pada 2012, Pulau Pinang belum menyaksikan kewujudan sebarang rumah PR1MA di negeri itu.

Sementara itu, Jagdeep berkata kerajaan negeri merancang 17 projek di semua lima daerah yang menawarkan keseluruhan 27,230 unit rumah mampu milik pelbagai jenis.

“Projek rumah mampu milik pertama kami ialah di Bandar Cassia, Batu Kawan yang hampir 100 peratus siap manakala projek-projek lain mencatatkan perkembangan yang signifikan,” katanya.

CATEGORIES