Malaysia Dateline

P Pinang peruntuk RM3 juta untuk institusi pendidikan Islam

Sebanyak RM3. 03 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bagi seluruh institusi pendidikan Islam bagi tahun 2020.

Jumlah tersebut merupakan penambahan sebanyak RM500 ribu lagi jika dibezakan dengan jumlah peruntukkan pada tahun lalu.

Menurut Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman, penambahan peruntukkan tersebut membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap perkembangan pendidikan Islam di negeri ini.

“Program bantuan kepada sekolah-sekolah agama rakyat atau SAR telah mula dipetkenalkan oleh kerajaan negeri sejak tahun 2009 lagi.

“Bermula pada tahun tersebut jumlah bantuan kepada institusi pendidikan Islam Pulau Pinang berjumlah sebanyak RM1. 78 juta setahun dan jumlah tersebut meningkat kepada RM2.48 juta pada tahun 2019 dengan pertambahan sejumlah RM700 ribu.

“Sebelum tahun 2009 tiada peruntukkan yang telah disediakan.Manakala jumlah keseluruhan institusi pendidikan Islam yang menerima peruntukkan kerajaan negeri tersebut berjumlah sebanyak 331 buah,” jelas beliau.

Adalah difahamkan antara institusi pendidikan Islam Pulau Pinang yang menerima peruntukkan tersebut ialah Sekolah Menengah Agama Rakyat, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Rendah Agama Rakyat Sepenuh Masa, Maahad Tahfiz, Sekolah Agama Rakyat Kafa Integrasi, Tadika Islam, Pondok dan Kafa Tulen.