Malaysia Dateline

P Pinang peruntuk RM64 juta tahun 2021 untuk martabatkan Islam

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited terhadap usaha memartabatkan agama Islam di Pulau Pinang dengan meningkatkan peruntukannya kepada RM64.16 juta bagi tahun 2021, kata ketua menterinya, Chow Kon Yeow.

Selain peruntukan itu, beberapa buah masjid akan dibina dan dinaik taraf.

Antaranya ialah Masjid Habib Almas, Tanjong Tokong, Masjid Sungai Nibing Besar di sebelah pulau dan di sebelah Seberang Perai pula ialah Masjid Permatang Bogak, Kepala Batas, Masjid Bandar Tasek Mutiara serta Masjid Taman Pelangi, Juru.

“Peruntukan tersebut turut merangkumi pembangunan prasarana pendidikan agama Islam di Pulau Pinang serta meneruskan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat.

“Bantuan kewangan sebanyak RM898, 000 juga disediakan bagi penyelia dan guru KAFA guru sekolah agama, kakitangan dan guru sekolah persendirian Cina, guru tahfiz guru pondok dan guru Tadika Islam dan bantuan ini akan dibayar pada Disember tahun ini.

“Sementara itu kerajaan negeri turut memperuntukkan sejumlah RM9 juta bagi tujuan untuk bayaran elaun ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di seluruh negeri ini,” ujar beliau ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada mesyuarat kedua penggal kedua, Dewan Undangan Negeri Pullau Pinang.