Malaysia Dateline

P.Pinang rangka dasar pengurusan sisa plastik

Kerajaan Pulau Pinang sedang merangka dasar Pengurusan Sisa Plastik bagi meminimumkan impak pencemaran plastik di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata isu penggunaan dan kebergantungan kepada produk plastik serta kaedah pelupusan yang tidak sistematik telah menyebabkan berlakunya pencemaran alam yang serius.

“Melalui program “No Free Plastic Bag”, kerajaan berhasrat untuk melaksanakan dasar larangan penggunaan plastik sekali guna bermula 1 Januari tahun depan bermula dengan larangan penggunaan penyedut plastik (straw) secara menyeluruh di peringkat negeri,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri telah memulakan pendekatan lembut dengan mendekati masyarakat serta pemilik restoran dan peniaga untuk memberikan informasi dan kesedaran tentang polisi kerajaan ke arah “No To Single-Use Plastic” secara amnya dan “No To Plastic Straw” secara khusus.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sedang merancang dan mengkaji untuk mengenakan syarat-syarat baharu bagi program “No Free Plastic Bag” yang diperkenalkan pada tahun 2009.

“Kami sedang memperhalusi cadangan untuk meningkatkan ketebalan plastik yang dibekalkan kepada pengguna dari 15 micron kepada 40 micron tetapi caj RM0.20 sen yang dikenakan bagi setiap helaian beg plastik dinaikkan kepada RM0.50 sen sehelai,” katanya.

Sementara itu, Phee juga berkata kerajaan negeri sedang melaksanakan satu kajian komprehensif bagi membina satu loji bahan buangan kepada tenaga (waste to energy) di Pulau Pinang.

Katanya, selaras dengan dasar kerajaan persekutuan yang menggalakkan penggunaan pendekatan “Waste to Energy”, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menasihatkan Pihak Berkuasa Tempatan untuk menwujudkan atau mengguna pakai “Thermal Treatment” yang dapat menjana tenaga.

“Tanah di negeri ini adalah terhad bagi pembinaan loji bagi melaksanakan proses “Thermal Treatment” jadi usaha sedangan dijalankan bagi mencapai matlamat itu,” katanya.

Persidangan DUN Pulau Pinang bersambung esok.

— BERNAMA