Malaysia Dateline

P Pinang sasar bina 220,000 rumah mampu milik menjelang 2030

Menjelang tahun 2030, kerajaan negeri Pulau Pinang mensasarkan pembinaan sejumlah 220,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) bagi memenuhi permintaan rakyat negeri ini.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

Menurut beliau lagi, sasaran jumlah pembinaan rumah tersebut adalah bertepatan dan sesuai dengan persekitaran ekonomi serta permintaan semasa.

“Sasaran tersebut turut merangkumi rumah jenis kos rendah, kos sederhana rendah dan juga meliputi tiga kategori RMM yang berharga antara RM150, 000 hingga RM300, 000.

“Ianya disasarkan sedemikian ekoran kesan ketidaktentuan ekonomi, persekitaran situasi kehidupan kini yang semakin mencabar sehingga menjejaskan ekonomi.

” Dalam situasi penularan Covid-19 siapakah yang mahu membeli runah-rumah yang dibina dengan harga yang mencecah sehingga ratusan dan jutaan ringgit, sedangkan bagi meneruskan kesinambungan kehidupan harian juga masih ada yang berjimat cermat,” katanya.

Sejajar dengan itu tambah beliau, pembangunan di Pulau Pinang amat diperlukan dengan mencambahkan lagi jumlah RMM bagi menjaga kebajikan rakat negeri ini.

Ujarnya, sejak tahun 2008, sebanyak 33,847 perumahan RMM termasuk jenis A, B telah pun siap dibina termasuk 20,721 unit pelbagai peringkat pembinaan serta 52,174 unit yang telah pun diluluskan untuk dibina.

Katanya lagi, dengan jumlah tersebut ia memberi jumlah besar mencecah sebanyak 106,742 unit keseluruhannya tatkala ini.