Malaysia Dateline

P Pinang sudah agihkan 3.2 juta pelitup muka

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengagihkan lebih 3 juta pelitup muka seluruh Pulau Pinang kepada mereka yang memerlukan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menurut Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow sejumlah 3,259,100 helai pelitup muka telah pun diagihkan kepada barisan hadapan termasuk Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri serta Ahli-Ahli Parlimen.

“Ia juga diagihkan kepada Pegawai Penyelaras Kadun (Kawasan Dun) bagi memenuhi keperluan rakyat yang memerlukan serta sekolah, agensi kerajaan dan juga untuk golongan yang memerlukan.

“Agihan pelitup muka tersebut masih lagi diteruskan sehingga ke hari ini dengan kerjasama dan juga sumbangan yang diterima daripada pertubuhan dan organisasi bukan kerajaan.

“Daripada sejumlah 6 juta pelitup muka yang dibeli oleh kerajaan negeri, sejumlah 527,210 helai pelitup muka merupakan sumbangan yang telah disumbangkan oleh pelbagai pihak, manakala jumlah sumbangan terkumpul Tabung Covid-19 Pulau Pinang setakat ini yang telah berjaya dikumpulkan adalah sebanyak RM2, 996,534.59, ” ujar beliau.