Malaysia Dateline

P Pinang tangguh usul kosongkan 4 kerusi ekoran Covid meningkat

Usul bagi mengisytiharkan empat kerusi Adun Pulau Pinang yang melompat parti akan ditangguhkan ekoran krisis kesihatan terkini serta bagi menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat negeri Pulau Pinang.

Ekoran itu, maka sidang Dun pada bulan Oktober ini akan menangguhkan pembentangan usul tersebut, kata ketua menteri, Chow Kon Yeow.

“Peningkatan kes terbaru Covid-19 yang direkodkan diseluruh negara ekoran pilihan raya negeri Sabah, maka kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi memberi keutamaan kepada kesihatan dan juga keselamatan rakyat negeri ini.

“Kerajaan negeri optimis bahawa usul tersebut akan dibentangkan dalam sidang Dun yang akan datang setelah situasi pulih kembali untuk mengadakan pilihan raya kecil tanpa membahayakan kesihatan rakyat Pulau Pinang.

“Adalah diyakini usul ini akan mendapat sokongan majoriti dan seandainya ia diterima sudah pastilah pilihan raya kecil bagi kawasan-kawasan Dun tersebut perlu diadakan dalam tempoh 60 hari bagi mengisi kekosongan tersebut,” tegas beliau.

Sehubungan itu tambahnya, demi keselamatan dan kesihatan rakyat yang perlu diberi keutamaan maka keputusan telah diambil bagi menangguhkan pembentangan usul tersebut.