Malaysia Dateline

P Pinang tawar 7,000 rumah mampu milik untuk penjawat awam, frontliner

Hampir 7000 penjawat awam dan ‘front liner’ atau petugas barisan hadapan telah ditawarkan rumah mampu milik oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo (gambar atas), sejak 2008 seramai 6,695 penjawat awam dan petugas barisan hadapan telah mendapat manfaat dari tawaran memiliki rumah mampu milik yang disediakan oleh kerajaan negeri.

“Kumpulan ini adalah mereka yang diberi keutamaan bagi mendapat tawaran tersebut dan melalui mesyuarat pemilihan bersama Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang hampir 1000 permohonan pelbagai kategori rumah mampu milik telah ditapis dan dipilih bagi mendapat tawaran tersebut.

“Sehingga hari ini, sejumlah 117,049 unit atau 53.2 peratus daripada jumlah yang disasarkan iaitu 220,000 unit rumah mampu milik telah berjaya dicapai sejajar dengan ‘Visi Penang2030’.

“Melalui program ‘Visi Penang2030’ kerajaan negeri akan berusaha menangani isu kemampuan bagi memiliki rumah dengan pelbagai inisiatif dan tawaran serta kategori perumahan kepada mereka yang layak,” ujar beliau melalui sidang media menerusi laman facebook selepas mesyuarat pemilihan rumah mampu milik jenis kos rendah dan sederhana rendah.