Malaysia Dateline

P Pinang tidak akan bubar Dun jika PN bubarkan Parlimen sekarang

Walaupun Parlimen dibubarkan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri dalam keadaan sekarang sehinggalah habis penggal ini.

Ianya adalah sejajar dengan keputusan yang telah disepakati oleh oleh pimpinan Pakatan Harapan Pusat baru-baru ini tidak akan menurut tindakan kerajaan Perikatan Nasional jika mereka membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (gambar atas).

Jelas Chow lagi, negeri-negeri yang diterajui oleh kerajaan Pakatan Harapan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri seandainya Parlimen dibubarkan oleh kerajaan PN.

“Negeri-negeri yang dikuasai oleh PH merupakan kerajaan negeri yang stabil serta tidak perlu untuk mengadakan pilihan raya sepertimana yang akan dilaksanakan di negeri Sabah kerana mereka mempunyai isu yang amat istimewa.

“Namun begitu PH tetap bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku dan tidak menolak kemungkinan yang ada mengenai pembubaran Parlimen setelah situasi politik negara yang semakin tidak menentu.

“Tidak dapat dinafikan bahawa pembubaran Parlimen akan turut memberi impak kepada ketidakstabilan ekonomi negara termasuklah insentif-insentif yang semakin tamat tempohnya oleh kerajaan PN yang pastinya akan memberi kesan negatif kepada para peniaga serta risiko kehilangan pekerjaan, ” tambah beliau.

Laman pro Umno mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin akan menghadap Yang Dipertuan Agong dalam masa terdekat untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya serentak diadakan dengan Sabah dan Sarawak yang perlu mengadakan pilihan raya negeri segera.