Malaysia Dateline

P.Pinang wujudkan transit gelandangan RM4.4 juta

Prihatin terhadap nasib gelandangan kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil tindakan segera bagi mewujudkan Pusat Transit Gelandangan dengan kos sebanyak RM4. 4 juta yang dijangka beroperasi pada awal 2022.

Malah pusat ini yang terletak diatas tanah milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang dengan keluasan 1,347 meter persegi akan menyediakan pelbagai kemudahan seperti tempat penginapan, ruangan aktiviti warga emas, dobi, kafe, ruangan kitar semula dan juga pusat komuniti mesra warga emas serta orang kurang upaya.

Menurut Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh, penyeliaan dan pengurusan pusat transit tersebut akan dikelolakan oleh badan bukan kerajaan sepertimana yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Yang lebih penting mereka yang akan ditempatkan di pusat transit ini perlu diasingkan mengikut jantina, mendaftarkan diri serta dikuarantinkan terlebih dahulu sebelum diberi kebenaran menggunakan kemudahan yang disediakan di pusat tersebut.

” Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kerajaan negeri akan tetap membantu golongan gelandangan tersebut melalui beberapa kaedah yang ditetapkan.

“Bagi warganegara asing mereka akan dirujuk kepada pihak berkuasa seperti kedutaan negara masing-masing atau pun Jabatan Imigresen serta juga Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian yang melibatkan pemegang kad UNHCR,” ujar beliau.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus membantu golongan yang memerlukan melalui pelbagai kaedah sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan senantiasa membantu golongan yang memerlukan.