Malaysia Dateline

Dendang Perantau antara lagu gubahan P Ramlee yang tidak lekang ditelan zaman

P. Ramlee, lagu dan hari raya

Kira-kira 30 atau 40 tahun lalu, sambutan hari raya Aidilfitri adalah hari perayaan bagi umat Islam yang berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan. Namun kini, sambutan hari raya Aidilfitri telah mengalami perubahan yang sangat ketara.

Meskipun beberapa tradisi dan falsafahnya masih kekal namun sangat menyedihkan hari raya bagai ingin diperniaga dan dipolitikkan. Tazkirah berubah menjadi kempen siasah yang berselindung dengan ayah-ayat suci al Quran. Rumah-rumah fakir-miskin diziarahi dengan sekampit barangan dapur yang dibungkus dengan plastik bersimbol parti. Sampul duit raya berlogo atau berwarna parti politik mengisi duit seringgit dua.

Apabila tiba sambutan hari raya, rumah-rumah terbuka dianjurkan oleh parti-parti politik dengan limpahan jamuan yang membazir. Hari raya Aidilfitri dijadikan acara untuk memupuk perpaduan kaum dengan membuat rumah terbuka. Ada ucapan politik dalam jamuan hari raya.  Bukan tidak bagus tetapi mengapa segala-galanya bagai ingin dipolitikkan?

Ada satu yang tidak dipolitikkan tentang hari raya. Iaitu lagu raya Aidilfitri. Hanya lagu raya Aidilfitri yang kekal tidak dipolitikkan walaupun kekal dipergunakan untuk perniagaan. Lagu hari raya berkumandang di kompleks membeli belah, bazar Ramadan, televisyen dan radio semasa orang sibuk mencari barang keperluan persiapan hari raya. Hatta di masjid dan surau, deringan handphone dengan nada lagu raya sesekali memecah kekhusyukan sembahyang Terawih.

Setiap menjelang bulan puasa dan hari raya, penerbit lagu biasanya akan mengeluarkan album khas edisi lagu raya. Para pencipta, penggubah lagu, pemuzik dan penyanyi akan berganding bahu menghasilkan satu lagu yang paling hebat. Ada penerbit yang menerbitkan kembali lagu lama dengan diberikan nafas yang lebih kontemporari.

Semua lagu tersebut tidak mampu menandingi kehebatan dan keindahan lagu-lagu yang pernah dicipta pada zaman 50-an, 60-an atau 70-an. Lagu-lagu P. Ramlee, Saloma, Jeffrey Din, S. Jibeng, Ahmad Jais, Sanisah Huri dan sebagainya tetap kekal dalam carta lagu-lagu popular Hari Raya Aidilfitri.  Namun lagu dendangan P. Ramlee mempunyai nilai lagenda yang tersendiri. Lagu-lagu P. Ramlee memang ‘berhantu’ di bulan puasa dan hari raya Aidilfitri.
 
Terdapat dua lagu yang P. Ramlee nyanyikan iaitu ‘Suara Takbir’ dan ‘Dendang Perantau’. Lirik ‘Suara Takbir’ adalah ciptaan S. Sudarmaji dan lagunya digubah oleh P. Ramlee.  Lirik lagu itu dicipta berdasarkan pengamatan terhadap budaya menyambut hari raya bagi orang Melayu. Setidak-tidaknya, lagu ‘Suara Takbir’ telah meletakkan dua elemen terpenting yang mempengaruhi falsafah orang Melayu meraikan hari raya Aidilfitri.

Elemen terpenting yang hendak diterap dari lagu tersebut adalah persoalan ketuhanan. Istilah ‘takbir’ adalah sebagai simbol hari raya Aidilfitri. Dari segi makna ‘takbir’ ialah membesarkan nama Tuhan melalui bacaan takbir secara beramai-ramai menjelang hari raya. Bacaan takbir secara tradisinya bagi orang Melayu sangat rapat. Hari raya Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam yang selesai menunaikan ibadat berpuasa selama sebulan.

Penggunaan kosa kata ‘beduk’, ‘subuh’, ‘muslimin’, ‘Ilahi’ dan ‘Tuhan Maha Suci’ merupakan pemilihan yang tepat bagi menggambarkan lagu ciptaan beliau adalah suatu lagu bercorak keagamaan dan ketuhanan yang berbentuk pop. Asas lagu ‘Suara Takbir’ walaupun dilihat sebagai sebuah lagu hari raya tetapi mesej yang P. Ramlee hendak sampaikan adalah soal ketuhanan.

Di dalam perenggan pertama dan kedua, pemilihan kosa kata ‘beduk’ dan ‘azan’ adalah perlambangan mengajak menunaikan sembahyang. P. Ramlee memilih waktu sembahyang subuh kerana dari segi logiknya, itulah waktu bermulanya ibadah berpuasa. Sebelum waktu sembahyang subuh, orang Islam bangun untuk bersahur.

Amalan ibadah di bulan Ramadan memberikan rasa ketenangan dan aman. Secara halusnya, lagu ini mengajar para pendengar bahawa kehidupan tenang dan aman akan diperolehi daripada amalan ibadah. Kehidupan beragama menjadikan diri seseorang dan masyarakat berasa aman dan ketenangan. Memuji-muji nama Tuhan adalah zikir yang bertujuan mengingati Allah SWT. Zikir adalah kekuatan dalaman yang menghasilkan jiwa yang tenang dan damai. Ini adalah persoalan spiritual hebat yang dibawa dari lagu ini.  

Lagu ‘Suara Takbir’ telah meletakkan persoalan agama dan ketuhanan sebagai elemen penting di dalam lagu-lagu raya Aidilfitri. Oleh kerana ini, elemen inilah yang mempengaruhi penciptaan lagu-lagu raya yang keterkemudian. Tiada lagu yang sarat dengan elemen keagamaan melainkan lagu-lagu hari raya. Hari raya adalah hari agama. Hari agama adalah hari-hari keamanan dan ketenangan. Jiwa yang tidak tenang adalah gambaran hari-hari yang tidak selaras kehendak agama.

Elemen kedua yang wujud dalam dua buah lagu P. Ramlee itu ialah persoalan kekeluargaan. Hari raya Aidilfitri adalah hari perayaan kekeluargaan. Hari menghargai makna sebuah kekeluargaan. Keluarga adalah sebuah institusi sosial yang paling tua dan asas kepada pembangunan negara dan global. Sewaktu nabi Adam a.s. dicipta dan tinggal di syurga. Kehidupan nabi Adam a.s. bagai kosong kecuali selepas dicipta Hawa a.s. sebagai pasangan hidupnya. Inilah asas keluarga manusia yang besar dan asas.

Seperti juga di dalam masyarakat lain dan juga masyarakat Melayu, persoalan keluarga sangat penting dan asas dalam kehidupan bermasyarakat. Dalam menyelurusi cabaran kehidupan, ada sesetengah  terpaksa meninggalkan kampung halaman untuk pergi merantau jauh ke kota atau ke negeri lain. Penghijrahan anak-anak kampung ke kota atau tempat lain dengan sendirinya membentuk sebuah  masyarakat baru. Ini adalah suatu ketetapan sosial yang sifatnya alamiyah.  

P. Ramlee merakamkan tentang kepentingan keluarga dalam hidup di dalam lagunya itu. Perenggan terakhir di dalam lagu ‘Suara Takbir’, menyebut:

Kini tiba masanya
Hati gembira di Hari Raya
Bertemu sanak dan saudara
Bermaaf-maafan dengan keikhlasan

Perenggan yang sangat indah ini memberikan makna bahawa hari raya adalah kesempatan terbaik untuk memohon kemaafan atas kesilapan yang berlaku sepanjang berkeluarga dan juga bermasyarakat. Tema ini terus kekal dikumandangkan dalam kebanyakan lagu-lagu hari raya baru yang ada pada hari ini. Hari raya Aidilfitri adalah hari raya yang menjadikan seseorang itu kembali kepada fitrah atau suci. Di dalam lagu ‘Dendang Perantau’ pada perenggan pertama mencatatkan:

Di hari raya
Terkenang daku kepada si dia
Kampungku indah nun jauh di sana
Ayah serta bondaku

Perenggan ini juga membicarakan persoalan kekeluargaan. Mengikut sejarahnya, sewaktu P. Ramlee mengubah lagu ini, beliau berada di perantauan iaitu di Singapura. P. Ramlee meninggalkan P. Pinang sebagai kampung halaman pada hari raya. Ungkapan ‘terkenang daku kepada si dia’ merujuk ingatan penulis lagu itu kepada kekasihnya yang ditinggalkan di kampung halaman. Kekasih adalah insan yang akan menjadi suri hidupnya dalam berumahtangga.

Ungkapan ‘Ayah serta bonda’ juga turut diserta sebagai orang yang penulis kenangkan semasa hari raya. Oleh kerana penulis tidak dapat beraya bersama-sama keluarga dan kekasih yang tercinta, beliau mencipta sebuah lagu tanda ingatan hubungan antara mereka sebagai satu keluarga.

Tradisi balik kampung memang sebati dalam jiwa orang Melayu. Walaupun tidak dapat balik kampung, P. Ramlee memberi satu penegasan tentang peri pentingnya menjadi hubungan kekeluargaan antara anak dan ibu bapa. Itulah letaknya kebahagian dan keamanan di dalam jiwa.

Lagu dan lirik lagu-lagu raya mereka kekal menjadi ikutan hingga pada hari ini. Inilah kelebihan lagu-lagu hari raya Aidilfitri yang kebal daripada sentuhan politik. Ia kekal sebagai suatu manifestasi hari kebesaran umat Islam yang mempunyai nilai-nilai tersendiri.  P. Ramlee merumuskan bahawa hari raya Aidilfitri adalah persoalan ketuhanan dan keluargaan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir batin daripada saya sekeluarga.