Malaysia Dateline

PA khianati perjuangan rakyat Palestin?

Rasa macam malas nak ulas segala hiruk pikuk yang timbul daripada kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bahawa Umno mendesak agar Tan Sri Mahiaddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Sekarang dah sepi mungkin ada perancangan belakang tabir yang berlangsung iaitu politik di sebalik pelitup.

Saya hendak mengulas tentang perkembangan sebuah pertubuhan yang memperjuangkan rakyat tetapi kini dibenci oleh rakyatnya disebabkan pengkhianatan dan pembelotan yang mereka lakukan dalam perjuangan membela rakyat mereka sendiri. Umum mengetahui Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang dipimpin oleh legenda Yassir Arafat dalam membela rakyat Palestin suatu masa dahulu kini sedang ia ditalkinkan.

PLO terdiri daripada gabungan beberapa pertubuhan raykat Palestin lain, yang berpengaruh adalah Fatah yang dipimpin oleh Arafat (sekarang dipimpin oleh Mahmud Abbas), PLPF yang dipimpin oleh George Habbbas (raykat Palestin beragama Kristian) menyertainya) dan beberapa pertubuhan lain.

Pada tahun 1987, disebabkan oleh beberapa perkara yang tidak dipersetujui oleh kalangan penduduk Palestin terutamanya di Gaza, Hamas telah ditubuhkan. Pendirian Hamas adalah jelas dan tegas iaitu enggan mengiktiraf negara haram Israel.

Pada awalnya Hamas telah mendapat sokongan terbuka daripada Iran dan Syria tetapi kini beberapa negara Islam termasuk Qatar dan Malaysia telah menyokong Hamas dalam membela rakyat Palestin terutamanya di Gaza. Ini kerana Hamas bukan sebuah pertubuhan pengganas tetapi sebuah kerajaan yang mempertahankan bumi mereka darpada dijajahi pengganas Israel terutamanya di Gaza.

Manakala, Fatah, yang juga merupakan parti politik dianggotai ramai kepimpinan PLO telah mendapat sokongan dari negara-negara Barat. Fatah telah banyak melakukan kegagalan dalam memperjuangkan rakyat Palestin dan kemuncaknya adalah kerana PLO di bawah Arafat telah mengiktiraf Israel dalam perjanjian Oslo.

Dalam perjanjian Oslo, PLO diiktiraf sebagai sebuah majlis perbandaran dalam menguruskan Tebing Barat dan tidak lebih daripada itu.

Dalam kebanyakan perjanjian-perjanjian PLO dengan negara Barat ia telah membawa kegagalan mereka dalam membela rakyat Palestin dan jauh lagi mendapat pengikrafan sebagai sebuah negara. PLO telah menjadi Pihak Berkuasa Palestin atau PA.

Tetapi ini menyebabkan pertikaian di antara Hamas dan Fatah atas perbezaan pandangan dan strategi ke arah pembebasan Palestin.

Pendirian Hamas ialah jangan terima Perjanjian Damai Oslo dan Resolusi Dua Negara. Hamas mahukan seluruh Palestin dikembalikan kepada rakyat Palestin.

Pada tahun 2006, Hamas memenangi pilihan raya Palestin di Gaza dan ia meningkatkan ketegangan antara Fatah dan Hamas untuk berkuasa dan membuat keputusan untuk kepentingan rakyat Palestin. Setelah perjuangan bersenjata yang panjang, pada tahun 2011, kedua-dua Fatah dan Hamas menandatangani Perjanjian Rekonsiliasi.
Pada masa ini, Semenanjung Gaza dikendalikan oleh Hamas, manakala wilayah Tebing Barat Palestin di bawah kendalian Fatah atau PA.

Isu-isu terkini terutamanya tindakan polis dan pihak berkuasa Israel mencerobohi Masjid Al Aqsa, cubaan menghalau penduduk SheikhJarrah dan usaha Hamas menyelamatkan Masjid Al Aqsa dan Baitul Maqdis Timur daripada ditakluki memperlihatkan PA gagal dalam memperjuangkan nasib rakyatnya.

Hamas sanggup berkorban dengan menyerang menggunakan roket ke kawasan-kawasan tertentu di Baitul Maqdis Timur dan di Israel demi mengalihkan perhatian pihak berkuasa Israel supaya menyerang Gaza. PA sekadar mengeluarkan kenyataan mengkritik tindakan polis Israel.

Bantahan, demontrasi balingan batu dilakukan oleh warga Palestin di pintu Damaskus bagi menyekat kemasukan tentera Israel ke Masjid Al Aqsa tetapi PA tidak banyak membantu, Ini amat mengecewakan.
Isu terkini yang membawa kepada kebencian penduduk Palestin kepada PA di Tebing Barat ialah penangkapan dan soal siasat sehingga mengakibatkan kematian kepada seorang aktivis Palestin bernama Nizar Banat di tangan PA di Hebron pada 24 Jun lepas.

Menurut Middle East Monitor dan Dr Ramzy Baroud bahawa Banat adalah antara aktivis hak asasi yang diseksa semasa dalam tahanan dan ia merupakan perkara biasa kepada PA. Ia didakwa oleh beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan di Palestin sebagai modus operandi PA bagi mengorek maklumat dan pengakuan diri.

Tawanan politik dalam tahanan penjara PA terbahagi kepada dua kumpulan utama – aktivis yang disyaki oleh pengganas Israel terbabit dalam kegiatan anti penjajahan dan mereka yang lain ditahan kerana menyuarakan bantahan dan kritikan di atas amalan rasuah PA.

Kalau tidak silap pada 2018 laporan Permerhati Hak Asasi yang dimuat naik dalam media sosial menyatakan bahawa berdosen tangkapan telah dibuat oleh PA.

Menurut Dr Ramzy, Banat adalah salah seorang aktivis yang cekal dan bersuara lantang, di mana penghantaran paparan visual di media sosial telah mendedah dan memalukan kegiatan PA dan kepimpinan Mahmoud Abbas dan Fatah.Dalam video itu Banat telah menamakan mereka yang terlibat dan menggese supaya tindakan keras di ambil ke atas mereka yang menyalah gunakan dana awam Palestin dan mengkhianati perjuangan penduduk Palestin.

Berikutannya Banat telah banyak ditahan oleh PA. Pada Mei lepas, kumpulan bersenjata telah menyerang rumahnya dengan tembakan menggunakan peluru hidup, bom tangan dan gas pemedih mata. Banat menuduh serangan itu daripada parti Fatah.

Banat telah menjalankan kempen media sosialnnya berhubung program vaksinasi Covid-19 yang PA terima daripada pihak Israel pada 18 Jun. Memandangkan tekanan awam, PA dipaksa memulangkan vaksin kepada pihak Israel yang sebelum ini dianggap sebagai diplomasi Perdana Menteri baharu Israel, Naftali Bennett.

Namun serangan PA ke atas rumah Banat pada 24 Jun dianggap melampau dan keterlaluan. Saudaranya, Ammar berkata bagaimana 25 pegawai keselamatan PA menyerang rumahnya, membuat semburan lada semasa beliau sedang tidur dan memukulnya dengan batang besi dan kayu. Selepas membogelkannya, mereka menyeretnya ke dalam sebuah kenderaaan. Sejam setengah kemudian, keluarganya menerima berita kematiannya di kumpulan WhatsApp.

Selepas beberapa penafian awal, tekanan daripada ribuan bantahan penduduk Palestin di Tebing Barat, PA akhirnya mengaku kematian Banat tertakluk kepada keganasan fizikal.

Menteri Keadilan, Mohammed al-Shalaldeh memberitahu TV Palestin bahawa laporan awal perubatan menunjukkan Banat mati diseksa.

Kenapa PA panik dan bertindak ganas sehingga membawa kepada kematiannya jika perkara itu tidak betul. Mesti ada sesuatu yang membawa PA menyerang rumah Banat. Apa yang berlaku mendedahkan keganasan PA ke atas penduduk Palestin yang mengkritik dan menentang segala tindakan yang membelakang dan tidak mengutamakan mereka.

Mereka seolah-olah seperti pihak Yahudi Zionis mengambil tindakan ganas kepada penduduk Palestin yang membantah dan, mengkritik walaupun dalam protes aman.

Sejak perjanjian Oslo, Fatah telah kehilangan kewibawaan untuk berjuang bagi pihak penduduk Palestin. Mereka seolah-olah menjadi khadam Israel, AS dan Barat.

PA ditubuhan pada 1994 sebagai pihak berkuasa nasional dengan objektif mengemudi penduduk Palestin melalui proses pembebasan nasional sehingga kepada rundingan status akhir dengan penyelesaian dua negara pada 1999. Lebih dua dekad telah berlalu, tiada satu kejayaan yang dicapai PA atau bertanda pagar #PAgagal.

PA hanya berjaya mengekang kebangkitan penduduk Palestin terhadap Israel dalam jalinan kerjasama dengan pihak berkuasa Israel, terutamanya dalam melindungi peneroka haram. PA seperti tidak pandangan apa lagi dirujuk dalam rancangan bekas Presiden Donald Trump ke atas Palestin.

Pada masa yang sama PA telah menerima berbilion dolar dalam bantuan daripada penyumbang Barat dan AS temasuk cukai Palestin yang dikutip bagi mewakili Israel. Ke manakah pergi wang tersebut?

Ada juga terdengar daripada kedutaan PA di Malaysia yang mendakwa mereka tidak menerima dana Masjid Al Aqsa. NGO Malaysai mendakwa bahawa PA tidak mesra dengan NGO Malaysia. Bahkan semua bantuan sumbangan tidak melalui PA tetapi sampai kepada rakyat Palestin yang diuruskan oleh koresponden dan NGO Malaysia dan wakil mereka di Palestin.

Tidak dipastikan kenapa dana tidak disalurkan kepada PA dan banyak juga dana disalurkan melalui wakil NGO Malaysia di Gaza misalnya. Dalam kegiatan keganasa Mei lepas, di mana pihak berkuasa Israel mencerobohi Masjid Al Aqsa dan cubaan menghalau penduduk Sheikh Jarrah, penduduk Palestin bertindak sendiri dalam penyatuan nasional yang merentasi sempadan politik dan dengan berani meminta supaya Abbas meletakkan jawatan. Mereka mengemukan isu rasuah dalam PA.

Kelibat PA tidak menonjol dalam laporan media antarabangsa walaupun mereka cuba menonjolkan diri mereka sebagai pejuang rakyat Palestin.

Berikutan kematian Banat, semua lapisan masyarakat Palestin di Ramallah telah menyuarakan bantahan terbuka supaya Abbas, 85 tahun meletak jawatan dan tidak lagi mewakili penduduk Palestin malah mereka menyelar PA sebagai organisasi samseng.

Bahkan sebelum ini Abbas telah menangguhkan pilihan raya Palestin yang dijadual pada Mei lepas tanpa alasan yang kukuh.

Sebenarnya PA adalah halangan kepada kemerdekaan dan pembentukan sebuah negara bernama Palestin. PA sudah tidak lagi relevan dalam wacana pembebasan rakyat Palestin.

Teringat kepada negara kita Malaysia, adakah parti dinosaur dalam BN masih relevan dalam mendominasi politik negara yang memerlukan penjajaran baharu melalui kerjasama pelbagai parti?

 

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)