Malaysia Dateline

PAC bentang laporan isu MySejahtera di Dewan Rakyat Julai ini

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membentangkan laporan berhubung prosiding Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera di Parlimen pada minggu pertama apabila persidangan bermula pada 18 Julai ini.

Pengerusinya, Wong Kah Woh menyeru supaya Speaker Dewan Rakyat membenarkan laporan tersebut dibahas di Dewan Rakyat oleh Ahli-Ahli Parlimen untuk kurang-kurangnya sehari memandangkan prosiding itu melibatkan isu yang amat penting.

Sehubungan itu, katanya, PAC juga mencadangkan kerajaan mengambil kira pandangan laporan tersebut yang bakal dibentang dan perbahasan Ahli-Ahli Parlimen sebelum mengambil keputusan yang melibatkan implikasi kewangan dalam isu pembangunan aplikasi MySejahtera.

Sebelum ini, isu MySejahtera mengundang persoalan orang ramai apabila timbul persoalan berkaitan jaminan data peribadi hampir semua 32 juta rakyat keselamatan.

“PAC mencadangkan kerajaan mengambil kira pandangan laporan yang bakal dibentangkan dan perbahasan Ahli Parlimen sebelum mengambil keputusan membabitkan implikasi kewangan dalam isu pembangunan aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, PAC meneruskan prosiding Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera dengan mendengar penjelasan dan keterangan daripada tiga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), iaitu Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Katanya, prosiding itu berlangsung selama tiga jam bermula pukul 10 pagi yang mana fokusnya berhubung siapa yang terlibat dalam pelantikan syarikat KPI Soft Sdn. Bhd. untuk membangunkan aplikasi MySejahtera pada April 2020.

“Prosiding turut memberi fokus mengenai kelangsungan konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dicadangkan dan ketidakwujudan kontrak rasmi antara kerajaan dengan syarikat pembangun.

“Tumpuan juga diberikan mengenai pemilikan aplikasi MySejahtera khasnya pegangan harta intelek dan pendirian KPI Soft Sdn. Bhd. atau MySj Sdn. Bhd. terhadap tuntutan pemilikan harta intelek seperti yang termaktub dalam dokumen mahkamah serta dokumen berkaitan,” katanya lagi.