Malaysia Dateline

PAC lawat Boustead Naval Shipyard (BNS) di Lumut kaji isu kelewatan LCS

Jatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membuat lawatan kerja ke Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd di Lumut berhubung prosiding perolehan enam kapal peronda generasi kedua Littoral Combatant Ship (LCS) yang sudah tertangguh sekian lama.

Lawatan itu turut disertai oleh Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohamad Hatta Ramli.

“Moga ada sinar baru buat projek ini demi kelangsungan Pertahanan Perairan Negara,” kata Dr Hatta menerusi laman facebook beliau.

Sebelum ini, mantan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipanggil memberikan keterangan dan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini, berhubung kegagalan penyiapan enam (6) kapal peronda generasi kedua Littoral Combatant Ship (LCS) oleh Kementerian Pertahanan bernilai lebih RM9 bilion.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menjawat jawatan Menteri Pertahanan daripada 10 April 2009 hingga 16 Mei 2013 memberikan penjelasan hampir dua jam berhubung isu berkenaan.

Dr Ahmad Zahid adalah saksi keenam yang dipanggil PAC untuk isu ini yang merupakan perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah MINDEF dan sehingga ke hari ini, tiada sebuah kapal LCS yang diterima Tentera Laut Diraja Malaysia.

Sebelum ini, PAC sudah memanggil saksi terdiri daripada:

Datuk Seri Muez Abdul Aziz, Ketua Setiausaha MINDEF pada 18 November 2020;

Tan Sri Ambrin Buang, Pengerusi Jawatankuasa Siasatan, Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Jabatan Perdana Menteri pada 1 Disember 2020;

Pasukan Projek LCS (PPLCS) TLDM pada 16 Disember 2020; Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Mantan Panglima Tentera Laut pada 29 Julai 2021.

Low Kok Chiang, Ketua Pegawai Operasi Boustead Naval Shipyard (BNS), syarikat pembina kapal LCS.

PAC memandang serius isu ini, memandangkan sehingga Oktober 2020, sejumlah RM6.083 bilion telah dibayar namun tidak ada sebuah pun kapal LCS yang telah siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua (2) kapal LCS telah siap dibina setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh sebelum ini berkata, isu ini telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian / Jabatan Persekutuan) dan juga dalam Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) Jabatan Perdana Menteri yang diterbitkan pada tahun 2019.

Kegagalan penyiapan kapal LCS ini adalah amat serius kerana ia bukan sahaja membabitkan kelemahan / kegagalan dari segi tadbir urus, perolehan dan kewangan tetapi juga memberikan impak terhadap keselamatan dan pertahanan negara.

Bagi melengkapkan siasatan untuk isu ini, PAC juga bercadang akan mengadakan lawatan ke Lumut, Perak, limbungan kapal LCS yang dimiliki BNS dalam masa yang akan ditetapkan.