Malaysia Dateline

PAC selesai panggil MB Johor jadi saksi isu tukar tanah kementerian pertahanan

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen selesai memanggil Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai saksi bagi membantu siasatan membabitkan isu tukar tanah Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada semalam, 4 Julai.

Dalam prosiding yang diadakan di Pejabat Daerah Kluang, Johor itu, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh memberitahu bahawa Onn Hafiz hadir atas kapasiti sebagai mantan Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan daripada tahun 2013 hingga 2018.

Onn Hafiz menjadi saksi keempat dalam prosiding ini selepas Jawatankuasa Siasatan, Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang mendedahkan kepada PAC bahawa Onn Hafiz mempunyai kaitan dalam projek pembinaan Kem Paloh di Kluang mulai tahun 2016 dengan kaedah tukaran tanah (land swap).

Siasatan PAC menjurus kepada peranan yang dimainkan Onn Hafiz dalam cadangan pembinaan Kem Paloh, Kluang pada tahun 2016.

Saksi-saksi lain yang telah dipanggil oleh PAC sebelum ini bagi prosiding kes ini termasuklah Ambrin Buang pada 16 November 2020, Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Seri Muez pada 30 November 2020, dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein 1 Disember 2021.

Untuk rekod, projek tukaran tanah (land swap) dan pembinaan baharu ini yang bermula pada tahun 2012, asalnya, melibatkan land swap kem asal iaitu Kem Kinrara, Selangor seluas 94.01 ekar; pembinaan fasiliti Tentra Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sendayan, Negeri Sembilan; dan pembinaan Kem Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun pada tahun 2016, cadangan pembinaan Kem Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan telah ditukar menjadi cadangan pembinaan Kem Paloh, Kluang.

“Hadir sama memberikan penjelasan dan keterangan di hadapan PAC adalah Datuk Seri Muez Abdul Aziz, Ketua Setiausaha MINDEF dan Datuk Dr Shahrazat Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MINDEF.

“Prosiding berkenaan yang bermula jam 4 petang dan berakhir 2 jam kemudian,” kata Kah Woh.

Sebelum prosiding bermula, PAC pada sebelah pagi telah melawat Kem Paloh seluas kira-kira 65 ekar bagi meninjau perkembangan pembinaan kem berkenaan yang dibangunkan bagi menempatkan Markas 33 Rejimen Artileri
Diraja (33 RAD) dan 8 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

Dalam pada itu, Kah Woh memaklumkan PAC akan meneliti semua keterangan dan memuktamadkan laporan PAC bagi isu ini.

Baca juga: Tak apa ke wanita hamil makan durian? Dr Imelda perjelas makan sikit tak salah tapi jangan berlebihan

Baca juga: Buat ‘content’ Tiktok tak jaga hati Puteri Sarah, peguam akan siasat kandungan video tersebut