Malaysia Dateline

PAC sepatutnya diketuai MP Umno, kata Takiyuddin

Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Takiyuddin Hassan berkata anggota parlimen Umno yang sepatutnya yang dilantik mengetuai jawatankuasa itu.

“Amalannya parti pembangkang yang ada bilangan (MP) paling ramai menjadi pengerusi. Sekarang Umno (pembangkang terbesar di Parlimen) jadi terpulang kepada mereka.

“Pengerusi PAC Ronald Kiandee dulu pun Umno (sebelum sertai Bersatu)…Sepatutnya pengganti dia dari Umno,” katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini seperti dipetik Malaysiakini.

Katanya, pentadbiran BN sekurang-kurangnya melantik timbalan pengerusi dari kalangan pembangkang berbanding pada masa ini, di mana kedua-dua jawatan itu dipegang anggota parlimen dari Pakatan Harapan (PH).

“Sekarang kedua-duanya daripada kerajaan… Sudah lari jauh daripada amalan asal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan peletakan jawatan Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar daripada PAC, dikatakan susulan pengekalan Kiandee selaku pengerusinya walaupun selepas menyertai Bersatu.

Ia bertentangan dengan manifesto PRU ke-14 PH untuk melantik pengerusi PAC dari kalangan pembangkang.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata soal pengerusi PAC tidak melibatkan perundangan dan pembangkang boleh dilantik mempengerusikannya pada bila-bila masa.

Berkenaan soal itu, Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu setuju dengan kenyataan Mahathir tetapi pada masa sama membangkitkan janji yang dibuat PH dalam manifestonya.
“Saya setuju…mana-mana anggota parlimen boleh dilantik sebagai pengerusi PAC. Tetapi sebab PH telah menyatakan mereka akan lantik pembangkang.

“Paling kurang pengerusi daripada kerajaan, timbalannya pembangkang. PAC ini badan yang cukup penting untuk menyiasat dan membuat syor kepada kerajaan mengenai audit…Kalau (dua jawatan tertinggi dari kalangan) kerajaan, kita bimbang ia tidak efektif,” katanya lagi.

Ditanya sama ada kemungkinan ada anggota PAC lain yang akan menyusuli Nurul Izzah, Takiyuddin bagaimanapun ia hanya tindakan peribadi anggota parlimen Permatang Pauh itu dan belum ada pertimbangan untuk berbuat demikian.