PAC tiada sidang media lagi takut tersasul?

Ekoran apa yang dianggap sebagai ‘salah tafsir’ terhadap kenyataan yang dikeluarkannya semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata, sebarang sidang media daripada jawatankuasa itu tidak akan diadakan bermula 23 November ini.

Menurut Datuk Hasan Ariffin, sebaliknya hanya kenyataan bertulis rasmi akan dimaklumkan kepada media jika ada maklumat yang ingin disampaikan.

“Selaku Pengerusi PAC, saya dukacita kerana usaha mewujudkan suasana mesra di kalangan media tidak dihargai segelintir petugas media,” ujarnya yang berkata gurauan beliau pada akhir sidang akhbar semalam telah diingatkan terlebih dahulu supaya tidak ditulis.

Semalam, ekoran diasak petugas media selepas menyatakan PAC tidak perlu memanggil Najib untuk memberi keterangan berhubung isu 1MDB, Hasan yang juga Ahli Parlimen Rompin antara lain berkata, “Janganlah, saya pun nak cari makan juga.”

“Ketika sidang media hampir tamat, saya menjemput petugas media untuk makan tengah hari dan selepas itu secara bergurau saya bercakap ‘saya pun cari makan’ bagi mewujudkan suasana lebih mesra dengan petugas media,” ujar Hasan lagi.

Sehubungan itu, beliau bagaimanapun menyifatkan mana-mana portal berita yang menyiarkan kenyataan itu sebagai tidak beretika.

Sehubungan kenyataan ‘tersasul’ itu, Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo menuntut supaya Hasan meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi PAC.

“Bolehkah kita bayangkan apa tanggapan ini kepada orang ramai? Adakah ini standard seorang Ahli Parlimen kita ada sebagai pengerusi yang mengetuai jawatankuasa yang paling berkuasa?

“Bolehkah kita hanya duduk dan biarkan saja? Ini sangat memalukan,” tegas Gobind.

Hasan pada 2 November lalu buat kali pertama mempengerusikan mesyuarat PAC selepas Datuk Nur Jazlan Mohamed dan tiga anggota lain dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri dalam rombakan Kabinet pada Julai lalu.

TAGS